Pas yang “kluk klek”

Pas yang “kluk klek”

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil meminta pandangan Menteri Alam Sekitar, Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai pelantikan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebagai duta khas ke Asia Barat bertaraf menteri.

“Apa pandangan Dato’ Tuan Ibrahim bin Tuan Man (Official) tentang pelantikan Duta Khas ke Timur Tengah terutama dalam keadaan ekonomi yang semakin suram ini? Kesal? Reda? Syukur?” Soalnya pada hantaran di media sosial.

Bagaimanapun, pertanyaan Fahmi kepada timbalan presiden PAS itu berbaur sindirin apabila turut disertakan pautan kenyataan Tuan Ibrahim pada 14 Ogos 2018.

Ketika itu, Tuan Ibrahim membidas PH yang disifatkannya tidak ubah seperti BN apabila melantik bekas pengerusi DAP Tan Kok Wai sebagai duta khas ke China.

Ini kata Tuan Ibrahim, kerana PH telah mengkritik BN ketika parti pemerintah itu melantik antaranya Samy Vellu sebagai duta khas ke India dan Asia Selatan serta Ong Ka Ting sebagai duta khas ke China.

“PAS kesal Kerajaan Pakatan Harapan mengikut jejak langkah Kerajaan BN dengan melantik Tan Kok Wai sebagai duta khas ke China.

“Jangan ulangi kesilapan BN yang suka memutarbelit fakta dan menipu rakyat,” jelas beliau pada waktu itu.

Bagaimanapun hari ini, Tuan Ibrahim yang juga MP Kubang Kerian menzahirkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada presiden partinya atas pelantikan itu.

“Pengalaman luas beliau dalam isu-isu antarabangsa khususnya di Timur Tengah dan melibatkan umat Islam sejagat tidak dapat dinafikan.

“Semoga pengalaman beliau memberi impak besar kepada negara,” kata beliau.

Sumber : https://m.malaysiakini.com/news/518451