Sebanyak 44 premis makanan di Selangor telah diperintah untuk ditutup dari bulan Januari hingga April yang lalu.
Pengarah Kesihatan Selangor, Dr. Ummi Kalthom Shamsudin menyatakan bahawa tindakan ini diambi
l kerana terdapat kehadiran serangga seperti lipas, lalat, dan tikus di samping menerima markah yang sangat rendah semasa pemeriksaan.
Beliau menjelaskan bahawa pengesanan ini dilakukan melalui Operasi Premis Makanan Bersih yang telah memeriksa 1,235 premis dalam tempoh tersebut.
“Kita juga telah mengeluarkan 903 notis kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dengan jumlah kompaun
bernilai RM546,750 yang dikeluarkan kepada pemilik dan wakil premis serta pengendali makanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa Operasi Perayaan Tahun Baru Cina dan Operasi Perayaan Hari Raya Aidilfitri telah memeriksa 20,662 produk dan 1,315 hamper makanan di 53 premis keseluruhannya.
Dr. Ummi Kalthom menegaskan bahawa sebanyak 216 produk makanan didapati sudah tamat tempoh luput manakala 136 lagi mengalami kerosakan pada pembungkusan seperti tin yang kemek, kembung, dan bekas yang rosak.
“Selain itu, semua produk makanan bernilai RM50,747 diarahkan untuk disita daripada rak pameran jualan di bawah Seksyen 4(1)(f) dan persetujuan pelupusan di bawah Seksyen 4(8), Akta Makanan 1983.
“Sebanyak 13 notis kesalahan di bawah Peraturan 10(b), Peraturan 14(9)(b), dan Peraturan 35, Peraturan-Peraturan Makanan 1983 telah dikeluarkan semasa operasi ini dengan nilai kompaun sebanyak RM55,000,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa sebanyak 2,446 tapak bazar Ramadan telah diperiksa dan 2,403 telah diberi arahan pembetulan serta-merta.
“Sebanyak 13 notis dengan nilai kompaun sebanyak RM1,500 telah dikeluarkan kepada pemilik premis dan individu di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“Selain itu, sebuah kilang pembekal air batu telah diarahkan untuk berhenti operasi untuk kerja-kerja pembersihan premisnya. Kita juga mendapati empat sampel makanan yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan dan telah dikenakan tindakan pendakwaan,” jelasnya.