Lif merupakan kemudahan yang banyak digunakan oleh orang ramai, terutamanya di bangunan tinggi seperti pejabat, rumah, atau pusat membeli belah.
Ia sangat berguna sekiranya anda membawa barangan atau bungkusan yang berat dan banyak untuk ke aras yang lebih tinggi.
Walaupun begitu, ada juga yang bimbang untuk menggunakan lif, terutamanya pada bangunan yang terlalu tinggi.
Perasaan bimbang seperti lif tiba-tiba terhenti atau terjatuh selalu muncul dalam diri.
Tetapi ramai yang tidak tahu bahawa lif dibina dengan beberapa failsafe dan elemen reka bentuk yang unik untuk memastikan semua penggunanya dalam keadaan selamat.
Perasan tak ada lubang kecil pada pintu lif?Antara ciri-ciri keselamatan pada lif adalah lubang kecil yang terdapat di pintu bahagian pintunya.
Tahukah anda, lubang kecil tersebut sebenarnya mampu menyelamatkan nyawa anda sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.
Contohnya, apabila berlaku kegagalan kuasa atau kerosakan teknikal, pintu lif mungkin tidak akan dibuka. Apa yang anda perlu tahu, lif dilengkapi dengan pelbagai fungsi bagi menghalang pintu daripada terbuka secara rawak atau terbuka ketika berada di pertengahan antara aras.
Malahan, atas faktor-faktor keselamatan juga, pintu lif dicipta untuk tidak boleh dibuka secara paksa. Jadi, ia sememangnya sukar untuk anda keluar jika terperangkap di dalam lif yang tidak berfungsi.
Jadi, disinilah lubang kecil tersebut menjadi penting. Untuk membuka pintu lif, ia memerlukan beberapa peralatan khas yang dikenali sebagai hoistway door unlocking key. Ia akan dicucuk masuk ke dalam pintu lif melalui lubang kecil tersebut untuk membuka pintunya ketika kecemasan.
Kunci berkenaan biasanya disimpan atau dipegang oleh beberapa individu tertentu sahaja, antaranya mekanik lif dan juga penyelia bangunan. Ia juga disyaratkan untuk disimpan di dalam kota khas, yang dikenali sebagai knox box di tempat yang selamat dan mudah diakses oleh pasukan keselamatan seperti bomba.
Jadi, itulah fungsi sebenar lubang berkenaan. Nampak biasa sahaja kan, tetapi sebenarnya ia mempunyai fungsi yang sangat penting.