Penjimatan sebanyak RM100 juta sebulan susulan langkah penamatan subsidi dan kawalan harga ayam berkuat kuasa 1 November ini
Membolehkan kerajaan meningkatkan pelbagai inisiatif sosioekonomi dan kebajikan rakyat termasuk bantuan tunai.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi siaran soalan lazim penamatan subsidi ayam menyebut penjimatan itu juga dapat digunakan bagi memperkasa industri penternakan ayam.
Ia termasuk melalui bantuan insentif dari segi pembiayaan dana pusingan kepada penternak bersaiz kecil dan sederhana serta skim mikro kredit sebagai bantuan modal pusingan kepada penternak komuniti dan program transformasi reban ayam terbuka kepada reban ayam tertutup.
Mengenai persoalan sama ada harga ayam naik selepas subsidi ditamatkan pada 1 November ini, KPKM menyebut harga sekilogram ayam pada peringkat runcit di kawasan luar bandar dijangka masih sekitar RM10.40 satu kilogram (kg),
namun harga ayam di peringkat hypermarket atau pasar raya besar dijangka tidak akan melebihi RM9.40 satu kg.
“Walaupun sebelum ini kerajaan menetapkan harga ayam tidak boleh dijual melebihi RM9.40 sekilogram, peniaga di peringkat runcit telah mengenakan caj pemotongan antara RM1 ke RM2 satu kg, menjadikan harga belian ayam menjadi RM10.40 sekilogram,” menurut KPKM.
Subsidi harga ayam tamat 1 Nov 2023, subsidi telur diteruskan. – Foto BERNAMA.
Bagi membantu pengguna di kawasan luar bandar, KPKM menyebut kerajaan akan menganjurkan Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah di seluruh negara dengan harga jualan ayam akan kekal kompetitif dan tidak membebankan rakyat.
Mengenai persoalan langkah kerajaan jika harga ayam naik mendadak selepas harganya diapungkan, KPKM menyatakan kementerian itu dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan sentiasa memantau harga ayam dari peringkat ladang sehingga ke outlet peruncitan dari semasa ke semasa.
Menurut KPKM, sekiranya berlaku kenaikan mendadak akibat kekurangan bekalan, kementerian itu telah bersedia untuk mengimport ayam dari sumber negara luar bagi mencukupkan bekalan dalam negara.
“Namun begitu, jika berlaku kenaikan mendadak, kerajaan boleh mengenakan kawalan harga bersekali dengan subsidi atau tidak bersubsidi,” menurut KPKM.
Mengenai perbezaan harga ayam standard dan ayam super selepas langkah pengapungan harga itu, KPKM menyatakan ayam standard dijual berserta kepala, kaki, hati dan hempedal manakala ayam super dijual selepas dibuang kesemua bahan terbabit, dengan kedua-duanya berbeza dari aspek berat dan harga.
Menurut KPKM, kebiasaannya harga ayam standard adalah RM1 sekilogram lebih murah berbanding ayam super di peringkat runcit, dan perbezaan harga itu dijangka dikekalkan apabila ia diapungkan memandangkan terdapat perbezaan dalam berat antara kedua-dua spesifikasi ayam berkenaan.
Mengenai harga ayam di Sabah, Sarawak dan Labuan selepas pengapungan itu, KPKM memaklumkan asas harga di wilayah berkenaan adalah sedikit tinggi sepanjang kawalan harga dibuat berdasarkan faktor-faktor serta kos setempat.
“Apabila diapungkan, harga di wilayah-wilayah ini dijangka mengalami sedikit penyelarasan di peringkat pasaran pengeluar, borong dan juga runcit. Bagaimanapun, harganya dijangka kekal stabil jika bekalan bahan ini mencukupi dan tiada gangguan di peringkat pengeluaran,” menurut kementerian itu.
KPKM memaklumkan, kerajaan menanggung RM3.8 bilion untuk subsidi telur dan ayam sejak Februari 2022 dan rasional penamatan subsidi secara pukal bagi ayam adalah bagi mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Sementara itu, KPKM menyebut kerajaan buat masa ini memutuskan untuk meneruskan subsidi dan mengawal harga telur supaya tidak membebankan rakyat dan dasar itu akan dikaji semula apabila bekalan serta kos pengeluaran telur stabil sepenuhnya.