Tiga syarat utama ditetapkan bagi Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dari Kelas B2/B1 kepada LMM Kelas B Penuh.
Syarat pertama ialah pemohon mesti terdiri daripada warganegara Malaysia. Syarat kedua,
mereka perlu memiliki lesen memandu kompeten (CDL) Kelas B2/B1 yang sah dan berkuat kuasa secara berterusan.
Syarat ketiga, setiap pemohon mesti bebas dari senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga,
rekod sabitan kesalahan berat, atau sebarang perkara yang belum selesai di bawah Akta 333.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata pemegang LMM Kelas B2/B1 yang layak boleh membuat permohonan untuk mengikuti program khas ini bermula hari ini.
Katanya, semakan kelayakan boleh dibuat melalui aplikasi MyJPJ, portal mySIKAP awam (https://public.jpj.gov.my); atau di kaunter JPJ.
“Sekiranya layak, pemohon boleh hadir ke mana-mana 180 institut memandu terpilih di seluruh Malaysia yang menawarkan program ini.
“Pemegang lesen perlu membuat pengesahan kendiri mengenai kesihatan tubuh badan, fizikal, dan mental semasa pendaftaran di institut memandu,” katanya selepas meninjau sesi ujian program tersebut di AMSA Bangi Driving Academy, di sini, hari ini.
Aedy berkata setakat ini, maklum balas daripada orang awam untuk menyertai program ini adalah tinggi.
Katanya, pada masa yang sama, pihaknya sedang mengambil tindakan untuk menaik taraf sistem aplikasi MyJPJ bagi memastikan ia mampu menerima capaian akses yang tinggi.
“JPJ juga ingin memaklumkan bahawa kadar siling fi bagi institut memandu untuk program khas selama dua jam ini adalah RM160, berbanding mereka yang tidak memenuhi syarat dan perlu menjalani latihan selama 16 jam dengan kadar bayaran serendah RM800 untuk mendapatkan lesen B Penuh.
“Kadar fi ini merangkumi pendaftaran dan insurans pelajar, kursus peralihan dan penyesuaian (2 jam), fi perkhidmatan (termasuk sewaan kenderaan dan litar), serta fi ujian JPJ.
“Program ini bertujuan untuk menaik taraf pemegang LMM Kelas B2/B1 kepada Kelas B tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan. Tiada lagi permohonan baharu bagi mendapatkan LMM Kelas B1 di institusi memandu,” katanya.
Sebarang maklumat lanjut berhubung program ini boleh dilayari di www.jpj.gov.my.
BACA: Wanita mengadu dipaksa jual maruah demi selesaikan hutang bapa, sekali ada plot twist!