Seorang wanita tidak pernah menyangka hobi sang suami yang menyukai patung anime boleh menjadi punca keretakan dalam rumah tangganya.
Difahamkan, wanita berkenaan mula perasan ada sesuatu yang tidak kena dengan suaminya apabila lelaki tersebut sering tidur lewat di awal pagi pada setiap hari.
Kecewanya bukan kepalang, wanita yang mahu dikenali sebagai NA itu terperanjat saat melihat patung anime dibeli suami rupanya figura aksi berupa perempuan seksi.
Sudah hilang kepercayaan kepada insan bergelar suami, berikut perkongsian NA mengenai episod gelap dalam hidupnya selepas berkahwin dengan ‘pencinta anime’.
“Aku merupakan seorang isteri dan suri rumah yang sedang sarat hamil. Insya-Allah, lagi sebulan akan melahirkan anak kedua. Aku dan suami sudah berkahwin selama enam tahun. Suami aku seorang yang baik pada zahirnya. Tak pernah tinggi suara dan naik tangan pada aku. Dari segi tanggungjawab semua tak pernah culas lagi.
“Cuma ada satu sifat dia yang aku tak suka. Dari sebelum kahwin lagi aku tahu dia suka sangat dengan anime. Banyak kartun anime yang dia tengok sampai sudah ada anak pun masih layan lagi. Itu bagi aku biasa sahaja. Cuma sejak kebelakangan ini, suami sudah mula terjebak dengan figura-figura anime.
“Hari-hari suami akan tonton siaran langsung bidaan (bid) patung anime di laman TikTok. Sampaikan dia tertidur dengan telefon bimbit terbuka. Tidur pun lambat sampai pukul 2 hingga 3 pagi. Mula-mula sekadar tengok, sampai masa dia sudah mula sertai bidaan patung-patung itu.
“Yang buat aku lagi kecewa, semua figura itu sangat seksi. Figura perempuan posing seksi yang bajunya boleh ditanggal. Kalau tanggal tu nampaklah kemaluan dan buah dada tersembul. Macam mana kalau anak-anak aku tengok? Kotaknya sahaja pun dah nampak gambar seksi-seksi.
“Aku pernah kongsi ceramah Ustaz Azhar Idrus mengenai hukum haram menyimpan patung menyerupai benda hidup di dalam rumah. Lagi-lagi yang suami aku kumpul sekarang ini. Aku tegur dia secara baik untuk jual patung-patung itu dan jangan beli lagi. Dia mula-mula kata nak jual. Tetapi sampai sekarang masih simpan lagi.
“Malah ada sahaja patung yang baru sampai. Katanya dia menang hadiah di siaran langsung. Aku percaya pada mulanya sampailah terkantoi yang dia minta penjual untuk tulis menang free gift. Suami mula menipu aku. Harganya sudahlah mahal. Dia habiskan beratus ringgit sedangkan duit makan pun cukup-cukup sahaja.
“Perbelanjaan rumah semua guna duit nafkah aku. Sebelum ini aku minta duit dia kata sudah habis, makan kena berjimat. Aku reda sahaja. Tetapi bila dapat tau dia belanja beratus itu memang aku marah. Aku cakap dekar dia jangan beli atau sertai give-away di TikTok. Ingatkan sampai situ sahaja, rupanya ada lagi perangai dia.
“Suami sertai pula siaran langsung jual figura anime di Facebook pula. Guna akaun palsu. Kantoi lagi dengan aku yang dia ada nego nak beli patung figura perempuan. Aku baca perbualan dengan penjual itu masa suami tengah tidur. Aku screenshot komen berbaur lucah dia pada patung figura dalam satu siaran langsung ini.
“Walaupun patung, tetapi perasaan marah dan cemburu itu tetap ada. Komennya sangat menyinggung perasaan aku. Siap penjual tunjuk lagi video figura anime itu tanpa pakaian. Yang aku tak boleh terima video itu tidak senonoh. Dia duduk picit-picit dada patung itu. Tengah malam itu juga aku kejut dia.
“Aku mengamuk sekuat hati. Patung-patung yang dia yang beli semua aku campak. Kotaknya aku koyak. Menggigil-gigil tangan aku marah sangat. Aku pukul dia. Aku mengamuk menjerit. Segala kata makian aku lemparkan pada suami. Dia menangis sambil peluk dan pujuk aku mintak maaf.
“Aku ini tak pernah lagi menjerit mengamuk macam histeria macam itu. Selalu aku cakap lemah lembut. Orang luar pun kata aku jenis cakap lembut, suara perlahan apabila bercakap. Tetapi malam itu aku jadi kerasukan. Rasa macam bukan diri aku. Tak peduli pun yang aku tengah mengandung.
“Punya marah tak dapat dikawal, sampai aku jerit minta cerai dengan dia. Malam itu suami pujuk aku menangis minta maaf. Janji tak akan buat lagi. Aku suruh dia keluar dari semua kumpulan Whatsapp yang berkaitan figura. Akaun palsu Facebook dia pun aku padam. Akaun TikTok pun sama padam malam itu sahaja.
“Esok pagi aku tengok semua patung-patung suami kemas masuk kotak dan letak di luar rumah. Aku kata kat dia, tak nak ada satu pun patung dalam rumah. Diam-diam aku laporkan akaun Facebook penjual patung anime itu biar lingkup. Semua yang aku minta, suami sudah lakukan.
“Cuma aku masih lagi kecewa, susah nak percaya suami lagi. Aku rasa dia sudah ketagih tengok siaran langsung patung seksi-seksi itu. Yang peliknya, patung figura lelaki tiada pulak gatal nak bida, patung perempuan seksi juga dia nak. Kenapalah dia nak buat perangai masa aku tengah mengandung. Sahih ke perasaan aku ini?.
“Marah dan cemburu hanya pada patung yang tak bernyawa. Sekarang aku masih rasa kecewa. Kalau suami buat lagi, aku tak tahu nak buat apa lagi. Mungkin angkat kaki dari biar diri aku memendam rasa seorang diri. Terima kasih sudi baca luahan aku. Aku tak tahu nak meluah pada siapa.” Kongsi NA melalui laman luahan di atas talian.