Isu perebutan harta atau tanah pusaka sering berlaku dalam sesebuah keluarga selepas kematian ibu dan bapa.
Perkara ini turut menyebabkan hubungan kekeluargaan semakin renggang dan kadang-kadang berlaku bermasam muka antara ahli keluarga.
Baru-baru ini, seorang ejen hartanah dari Perak yang dikenali sebagai Rubi Hasman berkongsi beberapa kisah pengalamannya yang melibatkan rumah dan tanah pusaka.
“Apabila berada dalam bidang ini, saya sering berjumpa dengan pewaris hartanah yang bimbang nak jual rumah pusaka ibu atau bapa mereka.
Mereka menyatakan bahawa dulu, ibu bapa pernah pesan agar rumah tersebut tidak dijual dan semua harus tinggal bersama. Namun, pesanan ini kadang-kadang menyebabkan pertelingkahan di kalangan ahli keluarga yang masih hidup,” ujar Rubi.
Rubi berkongsi kisah sebuah keluarga yang bermasalah apabila rumah pusaka arwah bapa hanya memberi manfaat kepada satu pihak sahaja.
“Rumah itu hanya satu. Ada tujuh orang adik-beradik, tetapi hanya anak keempat yang tinggal di situ secara percuma. Yang lain harus menyewa. Ini menyebabkan pertikaian di kalangan mereka kerana hak yang lain juga sepatutnya ada di dalamnya,” cerita Rubi.
Beliau juga berkongsi kisah lain mengenai dua generasi keluarga yang bertelagah kerana harta yang diwariskan.
“Adik-beradik ada 12 orang, dan empat daripadanya sudah meninggal. Cucu-cucu pula menuntut hak mereka ke atas tanah yang hanya sekecil itu.
Ini menyebabkan pertelingkahan dan ketidaksetujuan di antara mereka. Ada yang mencadangkan untuk menjual dan berkongsi duit, tetapi ada juga yang mempertahankan pendapat untuk tidak menjual. Ini mencetuskan pergaduhan di kalangan mereka,” jelasnya.
Rubi menegaskan bahawa pengalaman-pengalaman ini menjadi pengajaran mengenai kepentingan wasiat atau pesanan yang ditinggalkan oleh ibu bapa.
“Jangan tinggalkan pesanan yang aneh-aneh kepada mereka yang terdekat dengan kita. Ini adalah pengajaran untuk diri saya sendiri. Saya takut apabila kita tiada lagi, susah bagi mereka untuk menunaikan hajat kita.
Oleh itu, adalah lebih baik untuk tidak meletakkan syarat yang sukar untuk dilaksanakan oleh anak-anak selepas kematian ibu bapa,” tambah Rubi.