PdPR : 400 pelajar Kelantan terpaksa daki bukit sejauh 5km

Kira-kira 400 pelajar dan penuntut universiti membabitkan lima kampung di Mukim Mambong, di sini, terpaksa merempuh perjalanan lima kilometer ke puncak bukit Kampung Bahagia, demi mendapatkan capaian internet.

Pelajar berkenaan dihantar oleh keluarga atau menunggang motosikal sendiri untuk ke kawasan itu yang mengambil masa 15 minit demi mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdPR) atau pengajian secara dalam talian.

Daripada jumlah itu, 200 pelajar dan penuntut universiti dari Kampung Bahagia, manakala selebihnya dari kampung Sungai Rimau, Raba, Mambong dan Johol.

Difahamkan, kawasan puncak bukit kampung itu satu-satunya lokasi yang mampu mengakses dan memberikan capaian internet yang tinggi, menyebabkan lokasi itu menjadi tumpuan.

Tinjauan di lokasi mendapati, kawasan berkenaan dilengkapi dua bangsal yang dibina oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Hilmi Abdullah, selepas mendapati kawasan itu menjadi tumpuan pelajar.

Kemudahan yang disediakan sejak dua minggu lalu itu bagi memberi kemudahan kepada pelajar supaya mereka dapat belajar dengan selesa, selain mengelak hujan atau panas.

pelajar

Kira-kira 400 pelajar dan penuntut universiti membabitkan lima kampung di Mukim Mambong, Kuala Krai, terpaksa merempuh perjalanan lima kilometer ke puncak bukit Kampung Bahagia, demi mendapatkan capaian internet. 

Pelajar terpaksa merempuh perjalanan lima kilometer ke puncak bukit Kampung Bahagia.

Seramai 20 hingga 30 pelajar di kampung itu hadir dalam satu-satu sesi ke kawasan puncak bukit berkenaan untuk mengikuti PdPR atau mahu membuat rujukan maklumat pembelajaran.

Pelajar yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mimi Aina Syahira Muhamad, 17, berkata dia terpaksa menunggang motosikal setiap hari untuk ke kawasan itu bagi mengikuti PdPR.

“Setiap kali ada PdPR atau untuk menyiapkan kerja sekolah, saya dan rakan-rakan akan naik ke kawasan ini memandangkan liputan internet di sini laju.

“Memang susah nak dapat capaian internet di rumah menyebabkan saya dan rakan terpaksa datang puncak bukit ini.

“Di sini tidak sunyi kerana ramai yang datang setiap masa memandangkan kini semua ada PdPR,” kata pelajar Sekolah Menengah Ugama Arab SMU (A) Saadatul Qura.

Bagi pelajar Tingkatan 3 SMU (A), Saadatul Qura, Siti Aisyah Radhiah Ramli pula, capaian internet di puncak bukit itu dapat membantu pelajar sepertinya kerana kawasan kampung tidak ada liputan telekomunikasi.

“Sepanjang mengikuti PdPR, saya pernah cedera pada kaki akibat terjatuh motosikal ketika melalui jalan balak yang tidak rata ke puncak bukit.

“Justeru, kami harap pihak berkaitan dapat menyelesaikan masalah capaian internet di kampung kami dengan membina menara telekomunikasi,” katanya.

Rakannya, Nurul Aini Najiha Azman, 15, berkata walaupun terpaksa meredah perjalanan selama 15 minit dengan motosikal, dia serta pelajar lain tiada pilihan kerana kawasan itu satu-satunya yang boleh mengakses liputan internet.

“Saya harap menara telekomunikasi dapat dilaksanakan secepat mungkin untuk kemudahan penduduk khususnya pelajar seperti kami yang mengikuti PdPR,” katanya.

Malaysiakini

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/833565/400-pelajar-redah-perjalanan-5km-ke-puncak-bukit-demi-pdpr

BACA JUGA : Himpunan Rabu : Polis bagi amaran keras