Peguam Haniff Kathri wakili keluarga Allahyarham Adib

Peguam Haniff Kathri wakili keluarga Allahyarham Adib

Jabatan Peguam Negara (AGC) akan terus mewakili Tommy Thomas dalam rayuan berhubung prosiding komital yang difailkan bapa anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim terhadap bekas peguam negara itu.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid berkata pendirian itu dibuat AGC susulan representasi yang dikemukakan oleh pihaknya sebelum ini.

Representasi itu bagi mendapatkan pendirian terkini AGC berikutan pertukaran peguam negara pada 6 Mac lepas, sama ada masih berdiri teguh di belakang tingkah laku Thomas selaku bekas peguam negara, khususnya berkenaan kenyataan media yang menjadi subjek perkara prosiding menghina mahkamah, ataupun AGC menjarakkan dirinya dengan tindakan Thomas tersebut.

Selain AGC, Thomas turut diwakili peguam Ambiga Sreenevasan dalam rayuan yang difailkan Mohd Kassim pada 11 Feb lepas, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 Jan, yang membenarkan rayuan Thomas untuk mengetepikan prosiding komital itu.

Menurut Mohamed Haniff, Mahkamah Rayuan menetapkan 5 Jan tahun depan untuk pendengaran rayuan tersebut.

Dia juga berkata pihak AGC turut mengemukakan permohonan untuk memfailkan rayuan di luar tempoh masa berhubung isu bidang kuasa Mahkamah Koroner mendengar dan memutuskan prosiding komital.

“Mahkamah tetapkan 17 Dis ini untuk mendengar permohonan (AGC) untuk memfailkan rayuan di luar tempoh masa,” katanya menerusi aplikasi Whatsapp.

Mohd Kassim memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding komital terhadap Thomas pada 16 Julai tahun lepas di Mahkamah Koroner Shah Alam, atas dakwaan menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues bagi mencari punca kematian anaknya.

Mahkamah Koroner membenarkan permohonan itu dan Thomas kemudiannya menfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memutuskan Mahkamah Koroner telah terkhilaf ketika membenarkan prosiding komital dimulakan terhadap Thomas.

Dalam permohonan itu, Mohd Kassim, 66, mendakwa Thomas telah membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan AGC pada 3 April tahun lepas, berhubung punca kematian anaknya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis 2018, di Institut Jantung Negara ekoran kecederaan parah dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun sama.

Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/552468