Peja bakal jadi pengerusi KTMB, lapor portal

Peja bakal jadi pengerusi KTMB, lapor portal

Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu dilaporkan akan dilantik sebagai pengerusi Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) seterusnya berkuat kuasa bulan depan, lapor harian kewangan The Malaysian Reserve, yang memetik tiga sumber industri.

Laporan itu memetik salah satu sumber yang mendakwa bahawa bekas menteri besar Perak itu akan menggantikan Pengerusi KTMB Rameli Musa, yang kontrak tiga tahunnya akan berakhir pada akhir bulan ini.

Rameli, yang juga naib ketua eksekutif dan pengarah eksekutif bukan bebas Ingress Corp Bhd, dilantik sebagai pengerusi KTMB pada Februari 2019.

“Kontrak untuk Ahmad Faizal untuk menggantikan Rameli mulai 1 Mac sudah siap,” kata sumber industri, menurut The Malaysian Reserve.

Bagaimanapun, laporan itu juga memetik sumber lain yang mengatakan masih belum diketahui jika Ahmad Faizal sedia menerima tawaran itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tambun itu dilaporkan dia tidak menyedari tentang pelantikan berkenaan.

“Saya tidak mempunyai sebarang maklumat,” katanya.

Ahmad Faizal, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Chenderiang, meletak jawatan sebagai menteri besar Perak pada Disember lalu setelah tewas dalam usul undi percaya ke atasnya di dewan undangan negeri itu.

KTMB adalah syarikat milik penuh menteri kewangan diperbadankan – anak syarikat kementerian kewangan – dengan operasi kereta api dan landasannya yang diselia oleh kementerian pengangkutan.

Menurut The Malaysian Reserve, kementerian pengangkutan dan KTMB enggan memberikan sebarang ulasan. Kementerian kewangan juga mengatakan ia tidak mahu mengulas mengenai spekulasi.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/563882