Pekerja penyelenggaraan maut tersepit lif

Pekerja penyelenggaraan maut tersepit lif

Seorang pekerja penyelenggaraan maut tersepit lif dalam kejadian di pangsapuri bangunan Summer Mall, di Kota Samarahan, Sarawak, hari ini.

Mangsa, Sukardi Kasim, 39, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan di lokasi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak dipetik Berita Harian berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.56 pagi.

Beliau berkata, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.

“Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati seorang lelaki tersepit di atas lif itu dan bomba dibantu pihak pengurusan bangunan berjaya mengeluarkan mangsa.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dipetik akhbar itu. – FMT