“Pandai dia berkias. Dia tak nak lelaki itu malu depan orang lain,” kata Cikgu Asraf.
Kesibukan peniaga mengira harga makanan berlauk yang diambil pelanggan adalah situasi biasa di kedai-kedai makan, terutamanya pada waktu puncak.
Keadaan ini membuatkan peniaga tidak menang tangan, apatah lagi dengan kehadiran ramai pelanggan serta isu kekurangan staf.
Dalam kekalutan itu, muncul seorang pelanggan dengan nasi bungkus yang hanya berlaukkan sayur
ketika ingin membayar, menarik perhatian peniaga di sebuah premis makanan.
“Depan saya ada seorang lelaki berumur 30-an. Dia hulurkan bungkusan makanan kepada tauke untuk dikira. Dia berkata… saya ambil nasi, kuah sikit, dan sayur.
“Tauke membuka bungkusan makanan itu dan dia kantoi. Rupa-rupanya di bawah nasi, dia selitkan seketul ayam dan sebiji telur,” cerita Cikgu Asraf dalam satu hantaran di Facebook.
Tanpa mendedahkan lokasi gerai tersebut, Cikgu Asraf menyatakan bahawa wajah pelanggan itu berubah serta-merta selepas ditegur oleh peniaga berkenaan.
“Lelaki itu mula pucat mukanya, risau apabila telah kantoi.
“Tauke itu berkata… encik terlupa kot nak cakap ambil ayam dan telur. Biasalah tu, kadang-kadang terlupa,” ujar guru tersebut yang mengimbas kembali perbualan di gerai itu.
Apa yang tidak disangka-sangka adalah reaksi peniaga yang tidak memarahi atau memalukan pelanggan tersebut kerana menipu.
Malah, peniaga itu tidak mengenakan sebarang caj terhadap lauk yang ‘disembunyikan’ itu.
“Peniaga itu menambah… yang lebih itu, saya belanja je. Lepas ini, jangan lupa tau. Respek betul cara tauke handle situasi macam ini.
Di ruangan komen, ramai warga maya kagum dengan tindakan peniaga itu yang menjaga aib pelanggan yang menipunya, malah dilayan dengan baik.
“Jaga aib, pada masa sama beri teguran yang mendalam. Cuma kena terima teguran. Bukan semua orang ada adab dan sabar. Makanan adalah darah daging, jangan dibuat main.
“Tauke itu jaga aib si pembeli yang kantoi menipu. Nasib baik tauke itu beritahu lauk ayam dan telur dia belanja. Kalau tidak, dah jadi haram walaupun makanan itu halal dimakan.
“Memang ada saja yang buat perangai macam tu, tetapi ini bab makanan, jadi darah daging… seram. Bagus tauke itu boleh bertolak ansur,” demikian antara komen warga maya.
“Tauke itu nak kongsi rezekinya juga sebab dia tahu mungkin lelaki itu tidak ada duit yang cukup untuk bayar makanan itu,” ujar yang lain.