Pelanggan terkejut dicaj RM10 untuk air mineral, ini alasannya

Oleh KAMARUL HISHAM ABDULLAH

Alangkah terkejutnya seorang pelanggan apabila sebuah restoran di Port Dickson, Negeri Sembilan mengenakan bayaran sebanyak RM10 hanya untuk sebotol air mineral bersaiz 1.25 liter.

Menerusi satu hantaran di platform Facebook, pelanggan terbabit tampil untuk meluahkan ketidakpuasan hatinya

Berhubung harga yang dikenakan oleh pemilik restoran berkenaan.

Pelanggan itu juga mengakui telah bertanyakan perkara tersebut kepada pemilik premis sendiri

Dan jawapan yang diberikan adalah kerana air mineral berkenaan berjenama ‘baik punya’.

Pelanggan terkejut dicaj RM10 untuk air mineral, ini alasannya

“Assalamualaikum, nak tanyalah. Air mineral ini sebotol berharga RM10. Terkejut aku. Cakaplah dekat pemilik itu yang air tersebut harganya tak sampai RM10 kalau dijual di kedai serbaneka.

“Dia cakap tak mengapalah jual RM10. Dia tak tahu harga pekerja beli berapa. Pekerja dia kata air ini jenama baik punya. Aku ini kaki minum mineral, tiadalah harga sampai RM12 sebotol,” kata pelanggan itu.

Hantaran yang tular menerusi kumpulan Facebook, Port Dickson Area itu turut meraih pelbagai reaksi daripada pengguna platform dengan rata-ratanya terkejut dan meminta pelanggan membuat aduan kepada pihak berwajib.

Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan yang menjalankan pemeriksaan terhadap premis tersebut.

Dalam kenyataan dimuat naik di platform sama, KPDN Negeri Sembilan memaklumkan bahawa pemilik kedai makan di Lukut, Port Dickson itu telah dikenakan kompaun sebanyak RM200.

Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan memaklumkan bahawa kompaun itu dikenakan secara serta-merta di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Operasi yang diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa, Mohd Zaihiri Tambi Adam itu juga mendapati premis tersebut telah gagal meletakkan tanda harga pada air mineral yang dipamer untuk jualan.

Kesalahan yang dilakukan oleh pemilik restoran tersebut turut melanggar Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Perkhidmatan) 2020.

“KPDN menerima maklumat awam berkaitan air mineral bersaiz 1.25 liter yang dijual dengan harga RM10. Berikutan aduan tersebut, sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Port Dickson telah menjalankan pemeriksaan terhadap premis tersebut pada Rabu, jam 11 pagi.

“Hasil siasatan sepasukan Pegawai Penguat Kuasa KPDN berdasarkan aduan tular di laman sesawang Facebook Port Dickson Area, premis kedai makan tersebut telah dikenakan satu tindakan kes Kompaun On The Spot (KOTS).

“Peniaga dinasihatkan supaya meletakkan tanda harga dengan jelas pada setiap barangan yang dijual untuk mengelakkan kekeliruan sekali gus memudahkan pengguna membuat pembelian secara berhemah.” Tegasnya.

Baca juga: Gara-gara makan burger McDonald’s, satu maut dan 49 orang jatuh sakit tiba-tiba