Pelantikan kembali Duta Khas undang kritikan, satu pembaziran.Wartawan veteran A Kadir Jasin mempersoalkan langkah kerajaan baharu yang meneruskan amalan melantik Ahli Parlimen sebagai duta khas dan berapa banyak wang pembayar cukai dibelanjakan untuk mereka.
“Adakah perlu kita menggaji duta khas bertaraf menteri sedangkan kita sudah ada ramai menteri dan diplomat profesional sebagai duta dan pesuruhjaya tinggi?,” katanya di Facebook.
“Apa sebenarnya tugas dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka ini selain memberi undi kepada Mahiaddin Yasin (bekas perdana menteri) dan kini kepada Ismail Sabri Yaakob (perdana menteri)?”
Kadir mengulas laporan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Presiden Parti Demokratik Progresif Tiong King Sing akan meneruskan khidmat masing-masing sebagai Duta Khas ke Timur Tengah dan China.
Ketika mengumumkan keputusan kerajaan itu semalam, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata, bekas menteri Richard Riot Jaem turut dilantik sebagai Duta Khas ke Asia Timur.
Kadir mempersoalkan sumbangan Hadi dan Tiong kepada negara dengan gaji dan pelbagai kemudahan dinikmati mereka.
Katanya, persoalan itu harus dijawab di Parlimen jika institusi itu benar-benar melaksanakan peranan semak dan imbang untuk negara dan rakyat.
Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/03/jangan-habiskan-beras-saja-kadir-jasin-persoal-lantikan-duta-khas/