Peletakan jawatan Zahid akan mengeruhkan lagi keadaan Umno

Peletakan jawatan Zahid akan mengeruhkan lagi keadaan Umno

Sumber dalaman Umno berkata kepimpinan ialah masalah terbesar parti tetapi menyingkirkan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden bukan penyelesaian.

“Dan ini sememangnya diketahui pemimpin dan akar umbi parti,” kata pemimpin Umno yang enggan namanya disiarkan itu kepada FMT.

Sejak kebelakangan ini, desakan supaya Zahid meletak jawatan meningkat namun kata sumber dalam itu, walaupun parti akan mendapat manfaat jika dipimpin oleh seorang yang tidak berdepan tuduhan di mahkamah, pemimpin tertinggi parti berada dalam keadaan sama.

“Ini bukan soal peribadi terhadap pucuk pimpinan yang ada sekarang tetapi persepsi, sama ada betul atau tidak, ia tidak boleh diubah walau apa pun yang kita buat.”

Menurut beliau “perubahan” terbesar dalam Umno selepas tewas pada pilihan raya umum ke-14 kemungkinan akan menjadi “penawar” bagi masalah kepimpinan pada pemilihan parti akan datang.

“Tidak seperti dulu, akar umbi sudah bertambah lantang menyuarakan apa yang mereka mahu lihat daripada kepimpinan pusat. Ini terbukti dengan desakan kebanyakan bahagian yang mahu hubungan dengan PPBM diputuskan.

Kita perlahan-lahan menjadi apa yang pengasas parti inginkan – satu parti yang dimiliki ahli akar umbi bukan hanya pemimpin semata mata,” kata beliau.

Pemimpin Umno itu percaya keputusan pemilihan parti kelak akan menterjemahkan dengan jelas apa yang diinginkan akar umbi iaitu kepimpinan yang boleh membawa parti ke hadapan pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, walaupun pengundi tradisi Umno sudah kembali menyokong tetapi ini mungkin juga didorong perasaan kecewa terhadap Pakatan Harapan (PH) dan juga kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Oleh itu, beliau berkata amat penting parti mendengar suara akar umbi dan rakyat mengenai apa yang mereka harap daripada Umno.

“Apa yang kita mahu tidak penting. Hakikatnya kita bekerja untuk rakyat. Mereka yang menentukan sama ada kita menang dan menjadi parti dominan pada pilihan raya kelak”.

Di mana bekas presiden Umno Najib Razak dalam percaturan ini? Menurut sumber dalaman itu, Najib masih berpengaruh dan boleh meraih sokongan akar umbi.

“Najib adalah faktor dalam menentukan arah tuju parti dengan pengalamannya dalam parti dan kerajaan. Merugikan jika beliau diketepikan oleh parti

“Keupayaan membangkit keresahan dalam dan luar parti membuat Najib amat popular dan beliau juga cukup berkesan untuk berdepan pembangkang,” katanya.

Penganalis politik sosial Universiti Malaya Awang Azman Pawi setuju dengan sumber dalaman Umno bahawa perubahan parti akan lebih jelas apabila pemilihan diadakan.

Menurut beliau, akar umbi akan menolak golongan yang mereka anggap “musuh dalam selimut”.

“Adalah jelas desakan supaya Zahid letak jawatan dan itu juga tidak akan menyelesaikan masalah Umno. Sebaliknya, ia akan dilihat sebagai satu konspirasi bagi melemahkan Umno dari luar pada hal isunya ialah dalaman.

“Pemilihan parti pentas terbaik bagi akar umbi memilih pemimpin yang mereka mahu untuk berjuang dan bukannya golongan yang hanya idamkan kuasa dan kedudukan,” katanya. – FMT