Peluang anak muda cerah dalam parti DAP

Peluang anak muda cerah dalam parti DAP

Baru-baru ini dalam satu wawancara, saya ditanya mengenai peluang dan masa depan anak muda dalam DAP. Menurut wartawan tersebut, DAP adalah antara parti yang paling gigih memupuk bakat muda. Inilah ulasan saya.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1966, DAP banyak memberi peluang kepada generasi muda malah kebanyakan dari para pengasas parti pada masa itu dalam umur 30-an. Pemimpin muda memainkan peranan yang penting dalam perkembangan parti. Lim Kit Siang menang sebagai Ahli Parlimen buat julung kalinya pada 1969 semasa beliau berumur 28; Lim Guan Eng dipilih sebagai Ahli Parlimen pada 1986 semasa usianya 26; Anthony Loke berumur 27 tahun ketika menjadi ADUN pada 2004 dan beliau menang sebagai Ahli Parlimen bersama saya semasa kami sama-sama berumur 31 tahun pada 2008.

Struktur DAP memberi ruang kepada pimpinan untuk memilih sebahagian calon muda yang berpotensi kerana struktur DAP tiada ‘warlord’ peringkat Parlimen seperti parti-parti tertentu. Budaya DAP juga lazimnya memberi ruang kepada golongan muda untuk menonjolkan bakat kepimpinan. Sebenarnya, ramai yang menyertai DAP kerana ingin menyumbang kepada parti dan negara, bukannya teringin sangat untuk mendapatkan jawatan atau pangkat. Apabila adanya pemimpin muda yang rajin dan rendah hati sedia tampil ke hadapan untuk memikul tanggungjawab sebagai ahli politik sepenuh masa, mereka diterima baik oleh akar umbi DAP.

Di antara 42 orang Ahli Parlimen DAP yang menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, 12 orang tidak melebihi umur 40 tahun pada ketika itu, iaitu Steven Sim (yang memenangi kerusi Parlimen Bukit Mertajam adalah anak muda kelahiran tahun 1982); Yeo Bee Yin (Bakri, 1983); Wong Shu Qi (Kluang, 1983); Hannah Yeoh (Segambut, 1979); Kasthuri Patto (Batu Kawan, 1979); Chan Foong Hin (Kota Kinabalu, 1978); Noorita Sual (Tenom, 1980); Wong Kah Woh (Ipoh Timor, 1980); Teo Nie Ching (Kulai, 1981); Alice Lau (Lanang, 1981); Mordi Anak Bimol (Mas Gading, 1985); dan Kelvin Yii (Bandar Kuching, 1986).

Juga pada PRU 2018, DAP mencalonkan 6 anak muda Melayu yang berusia bawah 40 tahun untuk bertanding bagi DUN, dan mereka berjaya menawan kesemua 6 kerusi yang ditandingi. Mereka adalah Zairil Khir Johari (ADUN Tanjong Bunga merangkap EXCO Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, lahir tahun 1982); Syerleena Abdul Rashid (ADUN Seri Delima; 1980); Young Syefura Othman (ADUN Ketari, 1990); Edry Faizal (ADUN Dusun Tua; 1985); Jamaliah Jamaluddin (ADUN Bandar Utama; 1989); dan Sheikh Omar Ali (ADUN Paloh; 1985). Untuk rekod, DAP mempunyai 44 orang ADUN yang tidak melebihi umur 40 tahun (pada tahun 2018).

UMNO juga pernah cuba tetapi ia hanya mampu menawarkan seorang calon di bawah umur 40. Malangnya calon tersebut gagal menawan kerusi Parlimen yang ditandinginya.

Di 47 kerusi Parlimen dan 104 kerusi DUN yang ditandingi, DAP meletakkan 27 orang calon wanita, 58 orang calon bawah 40 tahun, 9 bawah 30 tahun dan 40 peratus daripada calon-calon DAP adalah dalam kategori ‘pemuda’.

DAP sentiasa memberi ruang dan menghormati suara yang baharu dan berbeza. Pada zaman ini di mana parti-parti politik lain berusaha untuk menarik generasi muda, DAP telah lama berjaya berbuat demikian, malah terus memupuk pemimpin dalam kalangan anak muda. Kami berpegang teguh kepada prinsip bahawa parti hanya boleh berkembang apabila generasi muda diberi ruang untuk meneruskan perjuangan.

Liew Chin Tong – FB