Kes gangguan terhadap penumpang oleh pemandu e-hailing terus berlarutan meskipun pelbagai aduan dan tindakan telah diambil oleh pihak berwajib.
Terbaru, seorang ibu meluahkan kebimbangannya setelah anak perempuannya yang berusia 20 tahun diganggu oleh seorang pemandu lelaki.
Menurut wanita tersebut, insiden bermula ketika anaknya menempah perkhidmatan e-hailing untuk pergi ke tempat pengajian.
Sepanjang perjalanan, pemandu tersebut mula berkongsi kisah peribadinya, termasuk memberitahu anaknya bahawa dia telah bercerai.
“Anak saya menempah e-hailing untuk ke tempat belajar. Pemandu lelaki Melayu berusia sekitar 40 tahun itu cerita dia sudah bercerai dengan anak saya.
Setelah sampai, ketika anak saya hendak keluar, pemandu itu berkata, ‘Kalau ada kawan single, bagitahu abang… atau awak pun boleh.’ Anak saya malas melayan, tapi pemandu itu masih meminta untuk berhubung melalui WhatsApp. Anak saya terus pergi tanpa melayan,” dakwa si ibu.
Apa yang lebih membimbangkan, anaknya menerima mesej WhatsApp daripada nombor tidak dikenali pada tengah malam hari yang sama. Pemandu tersebut memperkenalkan diri dan mula bertanya lokasi anaknya, seolah-olah mahu menjemputnya semula secara percuma.
“Anak saya terus menyekat nombor itu. Tapi keesokan harinya, pemandu itu cuba membuat panggilan video pula,” jelas si ibu dengan penuh kebimbangan.
Anaknya menceritakan bahawa pemandu tersebut menawarkan untuk menghantarnya setiap hari secara percuma. Untuk menjaga keselamatan anaknya, si ibu kini sedang mempertimbangkan untuk membuat laporan polis dan juga melaporkan insiden tersebut kepada pihak pengurusan syarikat e-hailing.
“Anak saya cerita dia tawarkan nak hantar hari-hari secara percuma. Anak perempuan saya baru 20 tahun. Semua bukti seperti panggilan dan mesej ada,” kata ibu tersebut.
Kebimbangan ibu ini mendapat pelbagai reaksi dari netizen, yang turut memberikan pendapat masing-masing.
“Sebagai ibu bapa, hubungi pemandu tu dan beri amaran supaya jangan ganggu anak lagi. Beritahu dia jika ganggu lagi, akan buat laporan polis dan lapor kepada syarikat e-hailing. Jika masih ganggu, buat dua laporan, satu polis dan satu lagi aduan pada e-hailing,” komen seorang netizen.
“Jangan biarkan. Lapor polis segera. Zaman sekarang ni, sesaat je macam-macam boleh jadi. Lelaki tu mungkin akan terasa tercabar setiap kali tak dilayan, sebab itu dia tetap mencuba walaupun sudah disekat,” kata netizen lain.
“Lelaki tu bermasalah. Pesan pada anak supaya jangan berseorangan, pergi kemana-mana berteman. Takut jika setiap gerak-geri anak diperhatikan,” komen seorang lagi pengguna media sosial.
BACA:Â Naluri ibu tak pernah salah, hasil ujian DNA buktikan anak tertukar dengan anak orang lain