Pemandu GRAB terkejut duit hasil ‘kayuhan’ bertukar menjadi daun kering!

Oleh SULAIMAN ABD RAHMAN

Seorang pemandu GRAB terkejut apabila menerima duit tambang daripada penumpang yang kemudiannya bertukar menjadi daun kering setelah sampai di rumah.

Kisah ini mula viral di media sosial mengenai gangguan makhluk halus yang menimpa pemandu Grab Car.

Ada yang tersesat, ada yang ternampak perkara aneh, dan pelbagai kejadian misteri lain, terutamanya pada waktu malam.

Dalam kejadian terbaru ini, seorang pemandu Grab mendakwa wang tunai yang diterimanya daripada penumpang bertukar menjadi daun kering pada Sabtu lalu.

Kisah tersebut diceritakan semula oleh isterinya, Farah, di Twitter dan mendapat banyak perhatian dari netizen.

Pemandu GRAB terkejut duit hasil 'kayuhan' bertukar menjadi daun kering!

Menurut Farah, suaminya menjemput penumpang berhampiran Pasar Gunung Rapat dan menuju ke Jalan Hoover di Ipoh, Perak.

“Masa suami ambil penumpang sekitar pukul 7 malam, waktu Maghrib. Kebetulan kawasan tersebut dekat dengan rumah kami dan itu adalah trip terakhir, jadi dia menerima permintaan penumpang tersebut.

“Dia menurunkan penumpang sekitar pukul 7.10 malam. Wanita itu memberikan duit tambang RM8 dalam bentuk RM1 sebanyak lapan keping, dan suami memasukkan wang tersebut ke dalam dompetnya.

“Namun, suami akan memeriksa dompet selepas menghantar penumpang kerana dia akan memindahkan wang tersebut ke dalam ‘pouch’. Bila dibuka dompet, dia terkejut melihat daun.

“Suami mesej saya melalui WhatsApp mengenai daun tersebut. Saya tidak memikirkan perkara pelik dan menganggap suami hanya bergurau kerana dia memang suka bergurau.

“Apabila sampai di rumah dan suami menceritakan perkara itu, saya terkejut. Biasalah, mesti fikir tentang hantu. Suami juga pelik kerana daun kering dalam dompetnya ada lapan helai.

“Suami terus membuang daun tersebut kerana merasa takut dan tidak tahu apakah bahaya yang mungkin dibawa. Lagipun, kami ada anak kecil.

“Suami juga rasa tidak sedap hati kerana wanita tersebut kelihatan pelik dan suka ketawa. Sedikit-sedikit ketawa, dan bila langgar lubang pun ketawa.

“Dari gaya percakapan wanita itu, dia mungkin orang dari luar negeri. Tetapi sehingga kini, kami masih tertanya-tanya sama ada dia manusia sebenar atau bukan.

“Ada juga yang berpendapat wanita itu mungkin hantu kerana hantu juga dikatakan menggunakan duit dari alam bunian untuk bayaran.

“Namun, saya lebih cenderung kepada pendapat bahawa wanita itu adalah manusia sebenar dan mungkin mengamalkan ilmu untuk menarik duit. Itu lebih logik.

“Pelik juga ada orang zaman sekarang ini yang menggunakan ilmu untuk membayar Grab. Kalau tambang RM800 mungkin boleh faham, tetapi RM8 sahaja.

“Jadi kepada pemandu Grab, sila berhati-hati. Nasib baik tambangnya hanya RM8. Kalau RM60 ke apa, mungkin akan rugi kerana terpedaya. Tapi saya anggap itu bukan rezeki suami,” katanya.

BACA: Pemandu van jenazah kongsi kisah mayat bangkit sebelum terbaring semula selepas 15 minit