Pemandu lori treler tak tekan brek punca 10 kereta kena langgar. Polis menahan pemandu sebuah treler kontena yang terbabit dalam nahas 10 kenderaan di Kilometer 307.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Gopeng malam tadi yang mengakibatkan lapan mangsa cedera.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata lelaki berumur 36 tahun dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu ditahan untuk siasatan lanjut selepas ia didapati gagal membrek hingga merempuh kenderaan yang berada di hadapannya.
“Saya baru dapat maklumat baharu berkaitan treler, ia (kemalangan) bukan disebabkan masalah brek tetapi ia berlaku apabila treler itu melalui jalan selekoh dan ia kemudiannya mendapati dan ternampak kereta telah bersusun berhenti akibat kesesakan, sementara pemandu treler itu tidak sempat brek kerana terlalu dekat.
“Kemalangan dipercayai berpunca daripada treler berkenaan yang tidak sempat brek dan melanggar tujuh kereta yang sedang berhenti di kawasan itu akibat jalan sesak,” katanya ketika dihubungi.
Katanya lagi, ujian saringan air kencing terhadap pemandu treler itu bagaimanapun mendapati dia negatif dadah serta alkohol. Suspek juga tidak cedera dalam insiden itu.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak melaporkan, lapan cedera dalam kemalangan membabitkan sembilan kenderaan termasuk dua treler di kawasan itu sekitar jam 11.06 malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata insiden menyebabkan lapan mangsa cedera manakala tujuh yang lain selamat dengan kesemua mangsa tidak dalam keadaan tersepit dan sudah keluar dari kenderaan masing-masing sebaik ketibaan bomba di lokasi.
BACA JUGA :
PDRM umum beri diskaun 50 peratus saman trafik, pergi claim sekarang
Akhirnya Bung Mokhtar letak jawatan