Pemandu van jenazah kongsi kisah mayat bangkit sebelum terbaring semula selepas 15 minit

Oleh NADIA HARON

“Menyaksikan mayat bangkit dari pembaringan adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan hingga kini,”

ujar Senin Jais, 78, yang pernah berkhidmat sebagai pemandu van jenazah dan ambulans di Hospital Melaka.

Menurutnya, kejadian itu berlaku sekitar tahun 1980-an ketika dia sedang membawa jenazah dari Hospital Melaka menuju ke Batu Pahat, Johor, bersama penjaga rumah mayat, Rohani Akop.

Ketika dalam perjalanan, mereka terkejut apabila mayat lelaki yang dibawa di bahagian belakang van tiba-tiba bangkit dari pembaringan.

Senin berkata, disebabkan mayat lelaki itu berbadan besar, ia hanya boleh dibaringkan di atas alat pengangkat tanpa dapat ditutup sepenuhnya.

Pemandu van jenazah kongsi kisah mayat bangkit sebelum terbaring semula selepas 15 minit

“Kejadian itu berlaku ketika kami sampai di Muar. Melalui cermin pandang belakang, saya nampak mayat itu bangkit walaupun ditutup dengan kain putih.

“Sekitar 10 hingga 15 minit kemudian, mayat itu baring semula sehingga kami tiba di rumah keluarga mayat tersebut,” katanya.

Dia bersyukur kerana diberikan kekuatan dan semangat sepanjang perjalanan untuk menyelesaikan misi menguruskan jenazah dengan selamat.

Senin juga mengakui bahawa pengalaman itu adalah antara banyak pengalaman selama hampir 30 tahun bertugas, termasuk lima tahun di Hospital Jasin.

“Saya bersyukur kerana tiada sebarang kemalangan berlaku sepanjang bertugas dengan ambulans, van jenazah, dan lori sampah di hospital.

“Kerjasama yang baik dari orang ramai yang memberi laluan kepada ambulans ketika melalui kawasan perumahan dan kampung juga membantu melancarkan pergerakan kami,” katanya.

Bagi Senin, bekerja pada Aidilfitri serta dipanggil bertugas ketika musim perayaan adalah antara pengorbanan yang perlu dilakukan dalam memenuhi amanah dan tanggungjawab.

Dia yang tinggal di kampung Pulau Kelapa mengakui bahawa tugas sebagai pemandu hospital amat mencabar kerana memerlukan fokus tinggi di jalan raya untuk menyelamatkan nyawa pesakit.

Namun, dia berasa gembira kerana dapat menyumbang kepada komuniti ketika mereka berada dalam kesedihan, kesukaran, dan saat-saat genting.

BACA: Bersalin terpantas di dunia, dalam masa 27 saat sahaja selesai