Pemangku Raja Perlis buka mulut dedah sebab apa pemegang tauliah negeri Perlis sahaja dibenar ceramah dan berkuliah.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah hanya pemegang tauliah negeri Perlis sahaja dibolehkan berceramah dan berkuliah di masjid-masjid.
Menurut baginda, tauliah menjauhkan anasir-anasir luar yang cuba untuk menyemai bibit-bibit perpecahan dalam kalangan masyarakat.
Dengan itu, pihak jawatankuasa masjid diarahkan untuk memastikan setiap penceramah, pengkuliah dan tenaga-tenaga pengajar di masjid adalah pemegang tauliah di negeri itu.
“Ini bagi memastikan kualiti dan mutu pengisian di masjid dan surau di negeri ini kekal berada pada standardnya yang tersendiri.
“Selain itu, ia bagi menjauhkan daripada anasir-anasir luar yang meragukan dan cuba untuk menyemai bibit-bibit perpecahan dalam kalangan masyarakat di sini,” titah baginda pada majlis perasmian Masjid Al-Amin, Sempering semalam.
Pada 21 Mac lalu, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, pihak berkuasa agama perlu memantau dan memastikan agar setiap penceramah di negeri itu mendapatkan tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis (JMNPs).
Titah baginda, sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang ditetapkan berhubung perkara itu, siasatan dan tindakan perlu diambil terhadap penganjur serta penceramah terlibat bagi menggelakkan kesalahan itu berulang.
Selain Perlis, negeri lain yang melaksanakan ketetapan agar penceramah mendapatkan tauliah mengajar sebelum berkuliah di mana-mana masjid atau surau di sesuatu negeri termasuklah negeri Terengganu, Selangor, Pulau Pinang, Sarawak, Johor, Melaka dan Perak.
Sementara itu titah Tuanku Syed Faizuddin lagi, masjid memainkan peranan yang sangat penting sebagai entiti penyatuan umat, justeru fungsi masjid perlu diperkasa khususnya daripada aspek pengimarahan agar mampu membangunkan ummah.
“Jawatankuasa kariah dan para pegawai masjid yang terdiri daripada imam, bilal, siak dan penjaga kawasan mestilah komited dengan tugasan serta tanggungjawab yang diamanahkan.
“Mereka juga perlu bersikap mesra dengan anak kariah dan berusaha menyelesaikan masalah yang dibangkitkan dan bersikap pendamai,” titah baginda.
Titahnya, semua pihak hendaklah mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh agensi agama negeri bagi memastikan keseragaman dan penyelarasan yang teratur, terutama berhubung pengimarahan masjid dan surau.
Isu penceramah agama memberikan ceramah tanpa tauliah semakin menjadi-jadi sepertimana yang dilihat dalam kes Wadi Annuar.
Sumber: https://harapandaily.com/pemangku-raja-perlis-tegaskan-keperluan-surat-tauliah/
BACA:
Niat nak sambut ‘birthday’ member sekali lain pula yang terkantoi, rupanya member tengah..
Floor88 rugi RM2.6 juta, Eric dedah ini semua kerja ‘orang dalam’