Pembantu Mat Sabu hadir siasatan sebagai saksi, terkejut bila ditahan – Peguam

Pembantu Mat Sabu hadir siasatan sebagai saksi, terkejut bila ditahan – Peguam

KANUN telah dihubungi oleh Setiausaha Politik (SetPol) bekas Menteri Pertahanan YB Tuan Haji Mohd. Sabu, Presiden Parti Amanah Negara lewat petang 7 Julai 2020 bagi mendapatkan khidmat guaman untuk kes reman ke atasnya. KANUN dimaklumkan permohonan reman oleh SPRM akan didengari pada esoknya, iaitu pada jam 3 petang 8hb Julai di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Pada esoknya KANUN dimaklumkan bahawa rumah beliau digeledah antara jam 2.00 hingga 5.00 pagi dan pejabatnya di Wisma Amanah Negara di Kuala Lumpur juga turut digeledah selepas itu pada kira-kira jam 5.30 pagi 8 Julai 2020. Kedua-dua penggeledahan ini dibuat tanpa ada sebarang waran penggeledahan diserahkan kepada pemilik premis.

Peguam KANUN telah hadir untuk membantah tahanan reman ke atas SetPol tersebut pada 8 Julai 2020 dan setelah berhujah kira-kira sejam pihak Mahkamah telah membenarkan tahanan reman ke atasnya selama 6 hari meskipun jumlah yang diminta oleh pihak SPRM adalah sebanyak 7 hari.

KANUN mendapati bahawa SetPol tersebut telah hadir dengan niat baik pada petang 7 Julai 2020 ke pejabat SPRM apabila diberitahu bahawa beliau diminta hadir untuk membantu siasatan sebagai saksi kes dan bukanlah suspek terhadap kes yang sedang disiasat. Adalah menjadi satu kejutan kepada beliau dan keluarga beliau apabila beliau ditahan sebagai suspek walhal beliau pada awalnya hanya diminta hadir untuk membantu siasatan. KANUN ingin mengingatkan SPRM bahawa seseorang suspek mempunyai hak yang berbeza dengan seorang saksi yang mana jika beliau hadir sebagai seorang suspek sepatutnya beliau dibenarkan untuk membawa peguam bersamanya dan diberitahu alasan penangkapan terlebih dahulu.

Tindakan SPRM yang telah menggeledah rumahnya ketika keluarganya tiada di rumah pada waktu dinihari seolah-olah beliau adalah seorang penjenayah yang terlibat dengan kes jenayah besar seperti 1MDB adalah dikesali dan tidak mencerminkan sifat profesionalisme SPRM. Tambahan lagi, tiada wang tunai pelbagai mata wang bernilai lebih RM70,000 disita daripada rumah beliau atau pejabat Wisma Amanah sebagaimana yang dilaporkan di dalam media. Ini adalah berita fitnah atau palsu dan bersifat mala fide atau berniat jahat terhadap SetPol berkenaan.

Dikhuatiri tindakan-tindakan tidak profesional SPRM seperti di atas, akan menyebabkan SPRM dilihat oleh orang ramai sebagai alat pemerintah yang berniat jahat kepada pembangkang, khasnya menjelang persidangan parlimen pada 13 Julai 2020. Adalah menjadi harapan KANUN bahawa imej SPRM terus dijaga dan tidak dicemari kerana keyakinan pihak awam terhadap SPRM sebagai badan yang bebas dan profesional serta komited adalah penting dalam usaha memerangi rasuah di negara ini.

KANUN juga kesal dan menyelar laporan media tidak tepat, khasnya daripada portal Free Malaysia Today yang bertajuk “MACC nabs Mat Sabu’s aide over RM56 mil project, cash seized” (diterbitkan pada 8 Julai 2020). Laporan ini menggambarkan seolah-olah SetPol tersebut bersalah dan sejumlah wang tunai bernilai RM71,729 iaitu RM20,650, S$7,293, A$695, US$606, £3,520, ‎‎€200 dan 400 bahts bersama dokumen berkaitan projek kementerian dirampas daripada beliau. Sedangkan dalam prosiding reman pada 8 Julai 2020 itu terdapat 2 lagi suspek yang direman termasuk seorang pegawai tentera berpangkat besar. Pegawai tentera tersebut telah menjalani tahanan reman sebelumnya dan ini adalah reman kali kedua baginya. Kegagalan media itu menyebutkan dua suspek lain serta rampasan itu dibuat daripada siapa menunjukkan niat tidak baik dan tidak profesional media terhadap SetPol tersebut khasnya dan kepada Parti Amanah Negara secara amnya.

KANUN turut hairan bagaimana pihak media boleh mendapatkan nilai dan pecahan yang terperinci berkaitan jumlah rampasan itu. Ini mustahil diperolehi pihak media kecuali ada orang dalam yang membocorkan maklumat fail bagi tujuan mensensasikan berita tersebut dan pada masa yang sama mencemarkan nama Parti Amanah Negara dan Pakatan Harapan. Kebocoran maklumat sedemikian tidak seharusnya menjadi amalan mana-mana pegawai kerajaan dan pihak SPRM perlu mengetatkan SOP mereka supaya kebocoran maklumat yang boleh mendatangkan penganiayaan terhadap mana-mana pihak tidak akan berlaku.

KANUN akan terus memantau perkembangan kes ini dan berharap pihak SPRM dan media lebih telus dan profesional dalam menjalankan tugas mereka.

Sambil itu KANUN ingin menyeru pihak SPRM segera mendapatkan surat akuan perisytiharan harta daripada semua anggota pentadbiran kerajaan khasnya kabinet Tan Sri Muhyiddin Yasin dan seluruh Ahli Parlimen Perikatan Nasional memandangkan mereka sudah menjadi kerajaan lebih daripada 4 bulan. Ini menunjukkan SPRM di bawah kerajaan PH dahulu lebih proaktif dan profesional berbanding pada zaman sekarang. Sudahlah perisytiharan harta pihak pemerintah tidak dilakukan, seperti sepatutnya, SPRM bawah kerajaan PN kelihatan seolah-olah mensasarkan pembangkang melalui tindakan secara tidak profesional.

Dr Hj Zulqarnain Lukman
Pengerusi KANUN
Parti Amanah Negara

9 Julai 2020

Sumber: