Pembeli rumah PR1MA terkejut dimaklum tak dapat gantirugi setelah beberapa kali tangguh serah kunci

Pembeli rumah PR1MA terkejut dimaklum tak dapat gantirugi setelah beberapa kali tangguh serah kunci

Pembeli unit perumahan Residensi Tebrau di Johor Bahru terkejut apabila diberitahu mereka mungkin tidak akan menerima sebarang bayaran ganti rugi akibat penangguhan serahan kunci rumah, seperti dijanjikan.

Projek bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dimulakan pada 2014 itu, dijadual siap pada Januari 2020 , tetapi ditangguhkan beberapa kali, disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pemaju berjanji projek itu akan siap pada Oktober tahun lalu, sebelum ditunda ke Januari, Mac dan sekarang sekali lagi ditangguh ke April.

Seorang pemilik berusia 34 tahun memberitahu, dia menerima bayaran denda lewat penyerahan rumah ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) berjumlah RM7,200 pada 5 Nov lalu.

Pemaju masih perlu membayar RM20,000 kepadanya selepas notis pemilikan kosong (VP) diserahkan sebaik rumah itu siap namun belum layak untuk diduduki.

Bagaimanapun, surat daripada PR1MA yang dilihat FMT, menyatakan pemaju mempunyai kelulusan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk dikecualikan daripada pembayaran LAD.

Pengecualian itu dibenarkan mengikut peraturan bawah Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020, dari 18 Mac hingga 31 Ogos.

Menurut surat itu, PR1MA sedang membuat permohonan untuk melanjutkan tempoh pengecualian sehingga 31 Dis.

“Ini sangat mendukacitakan. Habislah kami kalau tak dapat LAD,” seorang kakitangan awam memberitahu FMT.

“Kami sudah hilang motivasi dan rasa seperti tiada harapan lagi untuk kami”.

Individu itu yang enggan identitinya didedahkan berkata, projek perumahan berkenaan kini menjadi mimpi buruk pembeli.

Beliau menggesa supaya PR1MA dan kementerian menjelaskan mengapa tiada pemantauan terperinci dilakukan ke atas projek berkenaan sebelum pandemik Covid-19.

FMT sebelum ini melaporkan, kebanyakan pembeli dibelenggu beban kewangan selepas terpaksa menyediakan RM2,000 sebulan bagi melunaskan pinjaman perumahan untuk Residensi Tebrau serta rumah yang mereka duduki ketika ini.

Pada 22 Feb tahun lalu, Ketua Eksekutif PR1MA Mohd Nazri Md Shariff dilaporkan berkata, pembayaran LAD akan dilakukan sebaik kunci diserahkan kepada pembeli.B

Pada Mei lalu, beliau kemudian menyatakan agensi itu sudah memperuntukkan RM28 juta pampasan bagi membayar ganti rugi kepada pembeli susulan kelewatan projek itu.

Mengikut Akta Covid-19, pemaju perumahan yang lewat menyiapkan projek sekali gus melanggar perjanjian dengan pembeli, akan mendapat perlindungan sementara daripada tindakan saman pembeli atau bank.

Ia berkuatkuasa bagi tempoh 31 Mac hingga 31 Ogos. KPKT boleh memberikan tempoh lanjutan kepada pemaju untuk tempoh 1 Sept hingga 31 Dis tahun ini.

Seorang lagi pembeli, Mohamad Isamuddin Isa memberitahun FMT, dia baru menerima surat daripada PR1MA bertarikh 25 Nov tahun lalu, menyatakan permohonan pemaju untuk pengecualian itu diluluskan bawah undang-undang berkenaan.

Isamuddin berkata, setakat ini dia sudah menerima RM5,000. Pemaju masih berhutang RM20,000 kepadanya.

“Sudah lebih dua bulan sejak 25 Nov lalu. Sekarang baru mereka maklum kepada kami. Mereka suruh kami tunggu untuk projek itu disiapkan. Kami tunggu. Dah ditunda beberapa kali, kami tunggu juga.

“Kami bersabar dengan kelewatan itu. Kami fikir sekurang-kurangnya kami terima ganti rugi. Sekarang mereka tidak mahu bayar. Ini sudah melampau,” katanya.

Seorang lagi pembei hanya mahu dikenali sebagai Yazid, menggesa PR1MA mengotakan janji kepada pembeli.

“Mereka berjanji nak bayar. Sekarang mereka gunakan Covid sebagai alasan,” katanya.

Yazid berkata, dia hanya tahu mengenai surat itu melalui WhatsApp dalam kalangan pembeli rumah berkenaan.

Pembeli meluahkan kekecewaan mereka di laman media sosial. Berdasarkan bancian dilakukan di Facebook, 58% (167 responden) mahukan pertemuan secara bersemuka dengan pihak PR1MA dan kementerian.

Manakala 28% (82 responden) lagi mahu mengemukan saman terhadap PR1MA.

Residensi Tebrau yang dibina atas tanah rizab Melayu berkeluasan 4.3 hektar menawarkan tiga jenis rumah dengan saiz antara 757 kaki persegi hingga 1,053 kaki persegi. Ia mempunyai 1,284 unit. Terdapat lima projek rumah PR1MA di Johor.

FMT cuba menghubungi pihak pengurusan PR1MA bagi mendapatkan maklum balas.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/17/selepas-beberapa-kali-tangguh-pembeli-rumah-pr1ma-berdepan-satu-lagi-tamparan/