Tular di media sosial, beberapa kenderaan dilihat bergerak di dalam kawasan Taman Safari Indonesia.
Namun, ketika melalui zon harimau, sebuah kenderaan tiba-tiba berhenti
walaupun peraturan taman safari melarang pengunjung menghentikan kenderaan mereka.
Keadaan ini menyebabkan seekor harimau yang berlegar di tepi jalan menghampiri kereta tersebut dan menggigit tayar belakangnya.
Pemilik kenderaan tersebut kemudian menunjukkan kesan gigitan pada tayar yang pecah akibat serangan harimau tersebut.
Naib Presiden Media, Acara dan Digital Taman Safari Indonesia, Alexander Zulkarnain, berkata insiden itu berlaku kerana sikap pengunjung yang memberhentikan kenderaan.
“Ada pengunjung yang terpaksa berhenti kerana pemandu di hadapan menghentikan kenderaan mereka, walaupun sudah diingatkan supaya tidak berbuat demikian.
Mereka tidak mengendahkan peraturan, dan inilah yang menyebabkan insiden harimau menggigit tayar salah seorang pengunjung,” katanya.
Alexander juga menjelaskan bahawa semua pihak bernasib baik kerana harimau itu tidak menyerang pengunjung.
“Petugas kami sentiasa bersiap sedia dan proaktif untuk membantu pengunjung ketika berada di zon harimau,” tambahnya.
BACA: Gelagat Tokti geli pegang katak hidup bikin netizen geli hati