Pemimpin DAP selar kenyataan Mahathir

Pemimpin DAP selar kenyataan Mahathir

Dalam wawancaranya dengan China Press, Dr Mahathir Mohamad berkata: “Saya membantu pakatan pembangkang untuk menang (dalam PRU14) kerana saya membawa sokongan orang Melayu. DAP yang tidak pernah mampu memenangi lebih daripada 18 kerusi, memenangi 42 kerusi kerana sokongan orang Melayu yang saya bawa.”

Kenyataan mantan perdana menteri itu bahawa DAP tidak akan memenangi lebih daripada 18 kerusi parlimen tanpa bantuannya itu adalah salah.

Sejarah menunjukkan DAP pernah memenangi 24 kerusi pada 1986, 20 kerusi pada 1990, 28 kerusi pada 2008, dan 38 kerusi pada 2013 sebelum memenangi 42 kerusi pada 2018.

Walaupun DAP telah dimomokkan dengan pelbagai penipuan, fitnah dan berita palsu – kononnya anti-Melayu, anti-Islam dan antiraja-raja selama lima dekad lalu – parti ini kekal komited terhadap cita-cita mewujudkan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya sejak penubuhannya pada 1966.

DAP juga tidak pernah sama sekali menentang mana-mana kaum ataupun agama mahupun sistem raja berpelembagaan di Malaysia.

Kami mahukan setiap orang di Malaysia – sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan atau Iban – mempunyai kesedaran, identiti dan cita-cita sebagai rakyat Malaysia.

DAP mencipta sejarah di Malaysia apabila seorang pemimpinnya masuk penjara dan hilang kelayakan sebagai ahli parlimen kerana mempertahankan maruah dan kehormatan seorang gadis Melayu.

Pemimpin tersebut adalah Lim Guan Eng dan ia berlaku ketika dia berkhidmat sebagai ahli parlimen Kota Melaka.

Punca permusuhan antara kaum

Pada PRU 1969, dua pemimpin Melayu dari DAP dipilih menjadi Adun dan sebelum PRU 1974 – sekiranya DAP menang di Perak, wakil rakyat bagi kawasan Tapah Road, Ibrahim Singgeh, akan menjadi menteri besar.

Antara ahli parlimen dan Adun lain dari DAP ialah Ahmad Nor, Ariff Sabri Abdul Aziz, Zairil Khir Johari (exco Pulau Pinang), Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (mantan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli), Ariffin Omar, Syerleena Abdul Rashid, Abdul Aziz Bari (ketua pembangkang DUN Perak), Young Syefura Othman, Sheikh Umar Bagharib Ali (mantan exco Johor), Fadzlan Yahya, Mohd Salleh Nakhoda Itam, Daeng Ibrahim dan Hassan Ahmad.

Pada 1969, saya ditanya, apakah yang diperjuangkan DAP. Dan untuk menjawabnya saya rumuskan kepada lima perkara seperti berikut:

(i) Bahawa Malaysia adalah negara dengan masyarakat berbilang kaum, bahasa dan budaya, dan bahawa Malaysia yang berdaya maju hanya dapat dibentuk jika semua kaum dan kumpulan di negara ini diberi kepentingan yang sama di bawah langit yang sama.

(ii) Bahawa dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia, keganasan dan ideologi yang berteraskan paksaan – seperti disokong oleh Parti Komunis Malaya – hanya akan menyebabkan perpecahan kerana ia akan menjerumuskan kita kepada konflik antara kaum. Kekerasan dan keganasan dalam segala bentuk mesti ditolak.

(iii) Bahawa dalam masyarakat berbilang kaum, jika ada kumpulan kaum yang berasa mundur – baik dari segi pendidikan, ekonomi, budaya, bahasa atau politik – maka permusuhan antara kaum akan wujud. Usaha mesti dilakukan untuk menghilangkan ketidakseimbangan antara kaum dan kumpulan ini.

(iv) Kemiskinan bukanlah masalah komunal. Ia adalah masalah sosioekonomi dan menganggap kemiskinan sebagai masalah perkauman hanya akan meningkatkan permusuhan antara kaum di negara ini.

(v) Membentuk pentadbiran yang bersih, jujur, cekap, dan berkesan.

DAP terus berpegang kepada kelima-lima prinsip itu selama 55 tahun lalu lepas dan DAP akan terus berpegang erat dengannya dan kerana itu juga DAP tidak akan bekerjasama dengan pemimpin Umno yang kleptokratik, yang secara rasminya telah berkembang daripada sekumpulan dua orang kepada kini tiga orang.

Dengan kempen jahat penipuan, fitnah dan berita palsu – yang bertambah kuat dalam tempoh 12 tahun terakhir sejak 2008 dengan mendakwa kononnya DAP anti-Melayu, anti-Islam, dan antiraja – kami berhadapan dengan cabaran sengit untuk memenangi sokongan orang Melayu.

Namun kami tidak pernah berputus asa dengan cabaran itu.

Saya mengakui Mahathir sedikit sebanyak membantu kemenangan 42 kerusi parlimen DAP dalam PRU 2018, tetapi untuk mengatakan yang DAP tidak akan berjaya memenangi lebih daripada 18 kerusi itu adalah salah sama sekali.

Dalam wawancaranya, pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah mengembalikan semula idea Burhanuddin al-Helmy untuk memberikan “kerakyatan Melayu” kepada semua orang tanpa mengira kaum.

Seperti yang saya katakan dalam perutusan tahun baru 2021 saya semalam, rakyat Malaysia perlu meneliti dan menghayati sebab-sebab kita mundur berbanding negara lain.

Kita perlu terus mara dengan sebuah konsensus nasional baru untuk mengembalikan usaha menjadikan Malaysia negara maju berkelas dunia dan menyelamatkan negara ini daripada nasib menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi dan negara gagal.

Seperti yang dikatakan oleh Dr Mohamed Rafick Khan dalam komen terkininya: “Ini Malaysia, bukan Malaya atau Tanah Melayu”.

Marilah kita bergerak ke hadapan dengan peredaran zaman.

Langkah pertama ke arah itu ialah dengan bersetuju bahawa semua rakyat Malaysia mahu melihat diri mereka sebahagian daripada Bangsa Malaysia dan slogan untuk semua rakyat ialah “perpaduan Bangsa Malaysia” bukannya perpaduan Melayu, perpaduan Cina, perpaduan India, perpaduan Iban atau perpaduan Kadazan.

Hanya dengan cara ini sahaja dapat kita realisasikan cita-cita Bangsa Malaysia seperti yang diiltizamkan dalam Wawasan 2020 yang gagal.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/557263