Pemimpin Pas S’gor dakwa isu kwsp dimanipulasi oleh Najib, Asyraf Wajdi

Pemimpin Pas S’gor dakwa isu kwsp dimanipulasi oleh Najib, Asyraf Wajdi

Seorang pemimpin PAS Selangor menyelar bekas perdana menteri Najib Razak dan Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, sebagai tidak bertanggungjawab kerana menyerang kerajaan terbuka berhubung isu pengeluaran dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengarah Jabatan Amal Malaysia Selangor, Shehdi Hazrik Shamsudin, berkata serangan Najib dan Asyraf Wajdi ke atas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz tidak wajar dibuat kerana kedudukan mereka sebagai sekutu kerajaan.

“Serangan terbuka mereka kepada Menteri Kewangan dan Perdana Menteri PN adalah sangat tidak bertanggungjawab, sebagai rakan sekutu kerajaan.

“Sepatutnya mereka mendidik rakyat yang tidak terkesan agar terus sedar kepentingan simpanan masa hadapan mereka, peranan sebenar KWSP, keperluan wang simpanan mereka untuk terus kekal disimpan dalam membantu ekonomi negara serta pulangan dividen yang kompeten kepada semua pencarum,” katanya dalam satu kenyataan dan dikongsi Facebook PAS Selangor.

Shehdi Hazrik berkata demikian mengulas kritikan keras kedua-dua pemimpin Umno itu berhubung isu pengeluaran KWSP melalui program i-Sinar.

Najib dan Asyraf Wajdi adalah antara pemimpin atasan Umno yang konsisten mendesak agar KWSP mempermudah pengeluaran Tabung 1 KWSP ketika orang ramai berdepan tekanan ekonomi akibat Covid-19.

Semalam, KWSP mengumumkan dua kategori pencarum yang layak mengeluarkan simpanan dalam Akaun 1 melalui skim i-Sinar yang dilaksanakan bagi membantu rakyat.

Perincian itu diumumkan seminggu selepas Tengku Zafrul mempersetujui gesaan beberapa pemimpin termasuk dari Umno untuk memperluaskan program berkenaan meskipun terdapat kebimbangan bahawa ia boleh menjejaskan perancangan kewangan persaraan ahli KWSP.

Susulan pengumuman perincian dan kelayakan akses ke Akaun 1 bagi kemudahan i-Sinar, Najib secara sinis menerusi Facebooknya melahirkan kebimbangan i-Sinar akan bertukar menjadi ‘i-kecewa atau i-kencing’.

Mengulas lanjut Shehdi Hazrik berkata istilah “kita jaga kita” juga tidak akan berguna sekiranya yang tidak terkesan turut mahu mementingkan diri.

“Ini adalah masa kita sedar tanggugjawab kita mereka yang masih bekerja, mereka yang pendapatan masih tidak terjejas dan tidak terkesan untuk bantu negara bukan bersifat mementingkan diri.

“Perlu diingatkan yang simpanan KWSP adalah untuk kegunaan ketika anda pencen, prinsip menyimpan wang dalam KWSP adalah untuk memastikan ada wang yang cukup apabila ahli-ahli bersara kelak,” katanya.

Shehdi Hazrik juga berkata tindakan kedua-dua pemimpin itu – yang begitu lantang mengkritik program tersebut – dilihat sebagai cubaan untuk menjadi juara rakyat.

“Saya melihat mereka yang bising kecewa ini ada dua jenis iaitu sengaja bising kerana mahu mengambil kesempatan politik dan satu lagi mereka yang tidak terkesan namun cuba mengambil kesempatan ingin juga keluar duit KWSP mereka kerana kemahuan atau keselesaan dan bukan kerana keperluan.

“Sikap dan tindakan segelintir pimpinan politik seperti Najib dan Asyraf Wajdi yang sering manipulasikan isu ini sebenarnya adalah cubaan mengambil peluang kononnya ingin menjadi juara rakyat dalam permainan delusi, iaitu satu pendapat yang silap dan mengelirukan namun cuba dipolitikkan,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/553783