Pemimpin Pas tegur Umno ‘perasan’ diri masih kuat

Pemimpin Pas tegur Umno ‘perasan’ diri masih kuat

PAS akan terus berusaha agar sekutunya, Umno dapat menerima hakikat betapa perlunya mereka terus kekal dalam satu gabungan.

Pemimpin veteran PAS, Dr Mahfodz Mohammed berkata suka atau tidak, ketiga-tiga parti Melayu-Islam di negara ini perlu kekal bersama bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar.

“Kita masih dalam Muafakat Nasional (MN). Jadi, kita akan teruskan dakwah kita supaya Umno menerima hakikat yang suka tak suka, kena terima Bersatu.

“Kalau tidak akan lebih besar kerugiannya. Dengan Bersatu memanglah ada kerugian tapi bila ketiga-tiga parti ini tak bersatu kita lebih rugi, sekali gus tidak akan dapat memerintah Malaysia,” katanya kepada Malaysiakini.

Mahfodz berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian PAS apabila rakan sekutunya Umno mahu memutuskan hubungannya dengan Bersatu.

PAS dijangka membincangkan perkara itu dalam mesyuarat pusatnya Sabtu ini.

Mesyuarat MT Umno yang dipengerusikan presidennya Ahmad Zahid Hamidi malam tadi memutuskan untuk membawa usul masalah hubungan tegang parti itu dengan Bersatu dalam perhimpunan agung Umno, yang dijadual 31 Januari ini.

Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berkata, MT mengambil keputusan itu setelah mempertimbangkan usul yang dikemukakan oleh 189 daripada 191 bahagian parti.

Menurut laporan, sebanyak 189 bahagian Umno membuat keputusan untuk menolak kerjasama dengan Bersatu dalam mesyuarat bahagian masing-masing.

Bagaimanapun bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa berkata dia mendapat maklumat hanya 99 bahagian yang menolak kerjasama dengan parti serpihannya itu.

Mengulas lanjut ketetapan yang diambil Umno, Mahfodz berkata PAS konsisten dengan pendirian untuk terus kekal bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan memperkukuhkan MN.

“Pendirian PAS ini memang dari atas (pucuk pimpinan), sampai bawah (akar umbi).

“Kita nak dua-dua (PN dan MN) supaya orang Melayu-Islam bersatu dan dengan bersama Bersatulah kita dapat jatuhkan musuh politik kita, iaitu PH dan terutama DAP,” katanya.

Ketegangan antara Umno dan Bersatu dapat dilihat sepanjang tahun lalu, antaranya menerusi penyingkiran Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar Perak dan desakan Umno berkaitan pengeluaran KWSP dalam Belanjawan 2021.

Terbaru, Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa Bersatu “mencuri dan membeli” ahli parti itu. Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan berkata akan menimbang tindakan undang-undang.

Mahfodz yang merupakan bekas ketua Dewan Ulama PAS berkata, jika Umno meneruskan rancangan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu, ia boleh membuka jalan kepada apa yang disifatkannya sebagai “monopoli DAP”.

“PAS percaya kalau salah satu daripada tiga parti ini tidak berpakat, akan balik kepada monopoli DAP seperti (pentadbiran PH) selama 22 bulan.

“Ini tak boleh dielakkan sebab DAP kukuh dengan 42 kerusi, mungkin akan bertambah jika ada orang Melayu yang bersekongkol.

“Sebab itu kita beritahu yang tiga parti politik Melayu perlu bersatu, barulah kita boleh kekalkan kuasa melalui Islam. Kalau tidak, DAP dan PH akan berkuasa semula dan ini bahaya,” katanya lagi.

Mahfodz juga berpandangan Umno bukan lagi sekuat dahulu dan mampu menang pilihan raya secara sendirian.

“Umno jangan anggap kuat lagi. Maaf cakaplah, Umno sekarang ada 39 kerusi Parlimen saja. PAS ada 18 kerusi saja.

“PAS dari awal mengaku kita tak boleh memerintah sendirian. Dulu Umno boleh, tetapi hari ini tak boleh lagi walau dengan gabungan BN,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan Umno akan meneruskan rancangan itu selepas perhimpunan agung nanti, Mahfodz berkata ia adalah keputusan parti itu tetapi dia melontarkan sau persoalan:

“Kalau tidak (bekerjasama) dengan Bersatu, dengan siapa Umno mahu bersama?

“Gabungan Parti Sarawak (GPS) pun bersama-sama dengan PN dan MN adalah permintaan Umno sendiri untuk ditubuhkan (secara rasmi),” katanya lagi.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/558072?