Pemimpin Umno ulangi pendirian tolak DAP, Anwar dan Mahathir

Pemimpin Umno ulangi pendirian tolak DAP, Anwar dan Mahathir

Pemimpin veteran Umno, Nazri Aziz menolak khabar angin bahawa Umno akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menubuhkan kerajaan baru dengan menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.

Nazri, yang merupakan bekas anggota Majlis Tertinggi Umno memberitahu FMT bahawa khabar angin itu tidak benar kerana partinya tidak boleh bekerjasama dengan DAP.

“Jika kita bekerjasama dengan PH, maka kita bekerjasama dengan DAP. Itu tidak mungkin.

“Tidak kepada Anwar, tidak kepada Mahathir dan tidak kepada DAP,” katanya, merujuk kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim dan bekas pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad.

“Kita akan pastikan semua berita yang tersebar ini dipatahkan.”

Semalam, timbul cakap-cakap mengenai kemungkinan Umno bekerjasama dengan PH untuk menjatuhkan kerajaan Muhyiddin.

Ini berikutan terdedahnya sepucuk surat yang mendakwa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak menyokong pelantikan Anwar sebagai perdana menteri baru.

Zahid bagaimanapun berkata surat itu palsu.

Terdahulu Zahid berkata, beliau sedar beberapa ahli Parlimen Umno menyokong Anwar, yang juga merupakan ketua pembangkang.

Ahli Parlimen Klang yang mewakili DAP Charles Santiago berkata, Umno seolah-olah mahu berperanan sebagai kuasa penentu, yang menurutnya akan menimbulkan masalah.

“Mereka mengalih sokongan dari satu kumpulan ke kumpulan yang lain bagi mendapatkan kehendak mereka. Kita harus membenarkan keadaan mengambil jalannya sendiri dan lihat ke mana arah haluannya dari situ,” katanya kepada FMT.

Beliau enggan memberi komen berhubung kemungkinan kerjasama dengan Umno dengan berkata, ia bersifat hipotesis, selain menambah bahawa terdapat juga kemungkinan parti itu berpecah kepada 2 kumpulan.

Penganalisis politik Azmi Hassan berkata, beliau tidak melihat kemungkinan kerjasama politik antara Umno dengan PH menjadi kenyataan.

Beliau memberitahu FMT bahawa premis kerjasama dengan PH hanyalah helah Umno untuk mewujudkan persepsi bahawa ia mempunyai pilihan untuk bekerjasama dengan parti di luar PN.

“Helah itu bukan sahaja ditujukan kepada PPBM pimpinan Muhyiddin, tetapi juga kepada PAS.

“Di pihak PPBM, ia hanyalah gertakan Umno bahawa ia bersedia bekerjasama dengan PH sekiranya Muhyiddin mengetepikan tuntutan terbaru parti itu.

“Bagi PAS pula, sekiranya ia terus berdolak-dalik mengenai Muafakat Nasional (MN), maka Umno akan mengambil langkah drastik meninggalkan gabungan itu dengan bekerjasama dengan PH, sekali gus memaksa PAS kekal dalam PN.

“Namun dalam keadaan sekarang, tiada kemungkinan Umno akan bekerjasama dengan PH kerana DAP masih merupakan sebahagian daripadanya,” kata beliau.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/18/tidak-kepada-mahathir-anwar-dan-dap-ulang-nazri/

COMMENTS