Pemimpin veteran rasa Umno ibarat ular lidi yang ditelan ular sawa

Pemimpin veteran rasa Umno ibarat ular lidi yang ditelan ular sawa

Veteran Umno melihat keadaan parti itu dalam kerajaan Perikatan Nasional tidak ubah seperti ular lidi menelan ular sawa apabila Bersatu dilihat lebih dominan dalam gabungan tersebut.

Setiausaha Agung Veteran Umno Mustapha Yaakub berkata perkara itu dapat dilihat dalam agihan jawatan kabinet serta pelantikan-pelantikan jawatan di peringkat negeri seperti pelantikan menteri besar Perak dan ketua menteri Sabah.

Katanya, ini kerana Umno telah menyumbangkan sejumlah besar bilangan ahli parlimen dalam membentuk kerajaan PN.

“Maka adalah wajar ahli parlimen Umno diberi jawatan yang lebih penting di dalam kerajaan PN seperti jawatan timbalan perdana menteri berbanding dengan ahli parlimen parti lain yang walaupun bilangannya kecil tapi diberi jawatan yang lebih senior dalam kerajaan.

“Atas alasan itu, maka timbullah rasa tidak puas hati di kalangan ahli parlimen Umno dan Umno itu sendiri.

“Ianya memburukkan keadaan apabila ahli Umno melihat seolah-olah Umno dipermain dan diperbudakkan oleh parti yang lebih kecil dalam kerajaan sekarang… Di sinilah timbulnya istilah ular lidi menelan ular sawa,” jelas beliau kepada Malaysiakini hari ini.

Pada 13 Oktober lalu, Biro Politik Umno berkata parti itu sedang mempertimbangkan untuk menarik diri daripada kerajaan PN dan mahukan syarat baru ditetapkan menyebabkan situasi menjadi semakin rumit.

Kritikan secara terbuka terhadap kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin merupakan isyarat rasa tidak puas hati para pemimpin Umno.

Bagaimanapun, Mustapha berkata soal pembahagian jawatan dalam kerajaan bukanlah faktor utama Biro Politik Umno membuat cadangan supaya ahli parlimen Umno menarik diri daripada menyokong kerajaan PN, tetapi juga isu-isu seperti pelantikan jawatan Menteri Besar Perak dan Ketua Menteri Sabah diserahkan kepada Bersatu.

“Sebenarnya Umno telah banyak berkorban di dalam pembentukan kerajaan PN.

“Sewajarnya Umno tidak dipinggirkan sehingga menimbulkan kemarahan ahli yang rata-rata melihat Bersatu adalah sebuah parti yang tidak boleh dipercayai dan tidak boleh dijadikan sahabat dalam kerajaan PN,” katanya.

Beberapa pemimpin akar umbi Umno turut senada dengan vetera parti, mengakui Bersatu menguasai kerajaan PN dan tidak seimbang dalam isu pelantikan jawatan.

Ketua Umno Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari memberitahu Malaysiakini keberadaan Umno dalam PN tidak memberi banyak kelebihan kepada parti itu.

Bagaimanapun, Azhari berkata dia akur dan menyerahkan kepada pimpinan tertinggi berhubung sebarang keputusan yang dibuat kerana mempercayai terdapat kelebihan dan kekurangan sama ada Umno sewajarnya kekal bersama PN atau tidak.

“Kita (Umno) kena dilihat sebagai pemimpin kita diberi platform, janganlah macam seolah-olah mereka ni tiada value.

“Sedangkan mereka yang susah senang dalam nak membangunkan, membawa parti dalam keadaan hari ini.

“Jadi bila kita (Umno) setuju untuk berkongsi kuasa, harapan kita, pemimpin-pemimpin kita (Umno) diletak di platform yang sesuai supaya mereka diberi peranan untuk membantu rakyat,” katanya.

Untuk rekod, PN yang terdiri daripada 113 ahli parlimen antaranya diwakili oleh 39 ahli parlimen dari Umno dan 31 dari Bersatu.

Ketua Umno bahagian Pokok Sena, Syed Ali Syed Rastan pula berkata sokongan ahli parlimen Umno terhadap kerajaan PN hanyalah demi menyelamatkan negara daripada dakwaan kerosakan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

Malah, menurutnya, sokongan berterusan sehingga hari ini juga tidak lebih atas faktor masalah pandemik Covid-19 yang melanda rakyat dan negara.

Katanya, akar umbi Umno amat kecewa dan tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti yang membiarkan Bersatu cuba mendominasi kerajaan PN secara mutlak.

“Kerana semua keputusan dan pelantikan dibuat secara unilateral dengan kuasa yang ada pada perdana menteri.

“Sehingga kini, kerajaan campuran ini tiada majlis presiden untuk bincang dan putuskan perkara perkara penting,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia turut menyentuh bahawa presiden dan timbalan presiden Umno tidak berada dalam senarai kabinet pimpinan Muhyiddin.

“Sekiranya berterusan dan dibiarkan, maka akan berulanglah apa yang berlaku di Sabah.

“Untuk berdepan dengan PRU15 akar umbi Umno cuma bersetuju dengan Muafakat Nasional (MN) sahaja dan menolak PN,” katanya.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pada 18 Sept lalu memaklumkan MN bersetuju untuk menerima Bersatu di sebalik adanya rasa kurang senang Umno kepada parti serpihan mereka itu.

Bagaimanapun, pendirian Umno mengenai penyertaan Bersatu ke dalam MN itu masih belum jelas lagi.

Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional (MN) yang dijadualkan berlangsung pada 2 Okt lalu dibatalkan ekoran penularan wabak Covid-19.

Umno dan PAS menjalin hubungan secara rasmi pada 14 Sept 2019 dengan memeterai MN selepas berdekad-dekad menjadi musuh politik dalam satu majlis yang menghimpunkan pemimpin serta penyokong kedua-dua parti di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Ia dibuat ketika kedua-dua parti masih menjadi pembangkang ketika itu.

Pada akhir Feb lalu Muhyiddin membawa Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan sebahagian ahli parlimen PKR pula berpaling tadah untuk menyokong mereka.

Ia menyaksikan kejatuhan kerajaan PH sebelum diikuti dengan kemunculan gabungan Perikatan Nasional (PN) yang menggabungkan Bersatu dan PAS serta Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Progesif Sabah (SAPP).

Umno – dan BN – pula tidak menyertai PN di sebalik pembabitan PAS dalam PN dan MN.

Sebelum ini, hubungan Umno dan Bersatu juga dilihat kurang mesra ekoran isu pengagihan kerusi dewan undangan negeri dan parlimen, terutama membabitkan kawasan yang dimenangi atas tiket BN pada 2018 sebelum wakil rakyatnya melompat ke Bersatu.

Berita penuh ; https://www.malaysiakini.com/news/546874

COMMENTS