Pasukan pakar bedah Hospital Besar Massachusetts (MGH) berjaya melakukan pemindahan buah pinggang babi yang pertama
kepada manusia, kata pihak hospital kepada saluran televisyen CNN kelmarin.
Pembedahan selama empat jam itu berlangsung pada Sabtu lalu di MGH yang juga merupakan hospital pertama yang melakukan pembedahan pemindahan buah pinggang pada tahun 1954.
Pesakit yang menerima buah pinggang baru tersebut bernama Richard Slayman, 62 tahun, dari Weymouth, Massachusetts. Beliau, seorang pengurus di Jabatan Pengangkutan Massachusetts, mengidap penyakit buah pinggang tahap akhir.
Slayman pulih dengan baik dan dijangka akan dibenarkan pulang tidak lama lagi.
Doktor-doktor menyatakan bahawa mereka menjangkakan buah pinggang baru itu dapat bertahan untuk jangka masa panjang. Namun, mereka akan sentiasa berwaspada kerana masih banyak yang tidak diketahui tentang pemindahan organ haiwan kepada manusia.
Dalam satu kenyataan bertulis daripada pihak hospital, Slayman menyatakan bahawa dia menjadi pesakit dalam program pemindahan organ hospital tersebut selama 11 tahun.
Sebelum ini, Slayman menerima buah pinggang daripada penderma manusia pada tahun 2018, selepas bertahun-tahun mengidap penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi.
Ginjal pesakit itu menunjukkan tanda-tanda kegagalan lima tahun kemudian dan dia mula menjalani rawatan dialisis pada tahun 2023.
Doktor mencadangkan dia mencuba buah pinggang babi setelah didiagnosis mengidap penyakit buah pinggang tahap akhir pada tahun lepas, katanya.
“Saya melihatnya bukan sahaja sebagai cara untuk membantu saya tetapi juga memberi harapan kepada beribu-ribu pesakit yang memerlukan pemindahan ginjal untuk terus hidup,” kata Slayman dalam kenyataannya.
Doktor yang tidak terlibat dalam pembedahan itu pula mengatakan bahawa ia adalah pencapaian yang sangat penting dalam bidang perubatan.
“Menyaksikan pembedahan ini membuahkan hasil selepas usaha bertahun-tahun menandakan satu langkah besar ke hadapan,” kata Ketua Pembedahan Pemindahan Organ Pusat Perubatan Southwestern di Dallas, Dr. Parsia Vagefi.
Dr. Tatsuo Kawai yang melakukan operasi itu memberitahu bahawa saiz ginjal babi adalah sama dengan buah pinggang manusia.
Apabila mereka menyambungkan saluran darahnya kepada Slayman, Kawai berkata, ginjal itu kelihatan ‘merah jambu’ dan mula memproses air kencing.
Kesemua 15 anggota pasukan bedah bersorak dan bertepuk tangan di bilik operasi, katanya.
“Ia benar-benar buah pinggang paling indah yang pernah saya lihat,” katanya dalam satu sidang akhbar kelmarin.
Sementara itu, keperluan untuk organ jauh melebihi jumlah penderma.
Setiap hari, seramai 17 orang di AS meninggal dunia semasa menunggu mendapatkan bekalan buah pinggang. Menurut organisasi Organ Procurement and Transplantation Network yang memantau aktiviti pemindahan organ, kira-kira 27,000 ginjal telah dipindahkan pada 2023.
Bagaimanapun, hampir 89,000 orang berada dalam senarai menunggu untuk organ tersebut.