Pemuda Amanah bantah kebenaran kilang arak beroperasi waktu PKP

Tersebar di dalam media sosial kononnya surat dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (“KPDNHEP”) bertarikh 31 Mac 2020 kepada Pengurus Besar HEINEKEN Malaysia adalah PALSU;

Sebenarnya tidak benar. Surat tersebut adalah TULEN dan BENAR;

Buktinya, HEINEKEN Malaysia, di dalam satu kenyataan di laman rasmi mereka, telah mengesahkan bahawa pihak mereka telah mendapat kebenaran untuk meneruskan operasi syarikat semasa tempoh PKP ini. Pihak mereka menyatakan,

“we have received approval from the authorities to allow a minimum number of workers to be on site to ensure the safety and integrity of the brewery during the stipulated period”

Di dalam laporan Malaysiakini bertarikh 5 April 2020, HEINEKEN juga telah mengesahkan ketulenan surat dari KPDNHEP itu;

Jika perbuatan memalsukan ketulenan surat tersebut dilakukan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab, maka ia adalah sesuatu yang amat-amat menyedihkan;

Kita semua sedar bahawa dalam tempoh PKP ini, hanya ada 15 jenis kerja / sektor kritikal sahaja yang diberi pengecualian oleh Kerajaan untuk terus beroperasi, iaitu:

  1. Food;
  2. Water;
  3. Energy;
  4. Communications & Internet;
  5. Security & Defence;
  6. Solid Waste & Public Cleansing Management and Sewage;
  7. Health and Medical;
  8. Banking and Finance;
  9. E-commerce;
  10. Logistics;
  11. Transportation;
  12. Port, dock, airport;
  13. Production, refining, storage, supply & distribution of fuel and lubricants;
  14. Hotels and accommodations;
  15. Any services/works determined important or critical to public health or safety by Minister.

Kita yakin dan percaya bahawa 15 sektor ini telah dikategorikan sebagai kerja / sektor kritikal yang diberi pengecualian oleh Kerajaan untuk terus beroperasi kerana mereka ini adalah sektor-sektor penting kepada masyarakat. 15 sektor kritikal yang dinyatakan di atas boleh berubah dari masa ke semasa berdasarkan kepada kriteria yang ditetapkan oleh Kerajaan;

Di dalam FAQ’s berkaitan PKP yang telah diterbitkan oleh Kementerian Sumber Manusia (Bil. 2) bertarikh 20 Mac 2020, Kerajaan telah menyatakan bahawa maksud kerja-kerja kritikal ialah, KERJA-KERJA YANG MANA JIKA SEKIRANYA TIDAK DITERUSKAN BOLEH MENDATANGKAN MARA BAHAYA ATAU KEMUDARATAN KEPADA PEKERJA, ORANG AWAM ATAU PERSEKITARAN;

Ertinya, hanya kerja / sektor yang memenuhi kriteria di atas sahaja yang layak untuk mendapat pengecualian dari Kerajaan untuk terus beroperasi semasa tempoh PKP ini;

Di dalam surat KPDNHEP tersebut, pihak Kementerian telah menyatakan bahawa HEINEKEN Malaysia diberi kebenaran untuk dibuka / beroperasi BAGI MEMASTIKAN PEMBEKALAN MAKANAN MENCUKUPI SEPANJANG TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) BERKUATKUASA;

Kita semua tahu HEINEKEN adalah syarikat pengeluar minuman keras (arak) di Malaysia. Namun persoalannya sekarang, adakah Kerajaan menyatakan bahawa syarikat pengeluar arak tersebut termasuk di dalam SEKTOR KRITIKAL yang memerlukan syarikat tersebut terus beroperasi di dalam tempoh PKP ini?;

Jika jawapannya adalah YA, ertinya pengeluaran / penjualan arak oleh syarikat berkenaan termasuk di dalam KERJA-KERJA YANG MANA JIKA SEKIRANYA TIDAK DITERUSKAN BOLEH MENDATANGKAN MARA BAHAYA ATAU KEMUDARATAN KEPADA PEKERJA, ORANG AWAM ATAU PERSEKITARAN?;

Persoalannya, benarkah begitu?

Arak adalah minuman yang diharamkan kepada seluruh umat Islam. Pengharamannya jelas di dalam Quran. Dari sudut kajian saintifik, ia juga tidak baik dan merbahaya kepada akal dan tubuh badan manusia. Oleh itu, dari sudut kesihatan dan manfaat kepada manusia, sebenarnya ia juga tidak baik kepada bukan Islam;

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakim, Rasulullah SAW telah bersabda, “Hendaklah kamu menjauhi arak, sesungguhnya arak kunci segala kejahatan”;

Apa yang disabdakan oleh Nabi SAW itu terbukti benar. Melalui laporan berita BH Online bertarikh 5 Februari 2018, seorang suami dilaporkan telah membunuh isterinya kerana mabuk. Kejadian ini berlaku di Sandakan;

Begitu juga dengan berita BH Online bertarikh 8 Februari 2019 yang melaporkan mengenai seorang suami yang kaki mabuk sering melakukan penderaan fizikal dan emosi terhadap isterinya. Kejadian ini berlaku di Perak;

Di dalam laporan mstar bertarikh 24 Oktober 2014, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (SJS) Asisten Komisioner Hamidah Yunus telah mengatakan bahawa antara punca utama berlakunya keganasan rumah tangga adalah disebabkan oleh mabuk;

Di United Kingdom (UK), angka rasmi jenayah akibat arak adalah 45% sehingga 46%, di mana 39% daripadanya melibatkan keganasan rumah tangga;

Melalui kajian yang dibuat di Amerika Syarikat oleh University at Buffalo, 30% hingga 50% pasangan suami isteri mengalami penceraian ada kaitannya dengan pengambilan arak yang berlebihan. Banyak lagi bukti-bukti lain jika hendak diperincikan di sini tetapi cukuplah sekadar ini sahaja;

Di dalam tempoh PKP ini, kadar tekanan emosi penduduk pasti meningkat. Ia berpunca dari banyak faktor termasuklah kebimbangan kerana hilangnya sumber pendapatan, terputus bekalan makanan, keadaan persekitaran rumah yang tidak selesa serta tersekatnya kebebasan untuk bergerak;

Faktor-faktor seumpama ini jika tidak berjaya dikawal dengan baik boleh menyebabkan berlakunya keganasan di dalam rumah tangga samada terhadap isteri atau anak-anak dan amat malang sekali jika ia berpunca dari arak;

Mengambil kira faktor-faktor di atas, syarikat berkenaan tidak sewajarnya diberi pengecualian pun oleh Kerajaan. Pengambilannya jelas boleh mendatangkan mara bahaya atau kemudaratan kepada orang awam dan persekitaran dalam tempoh PKP ini. Bahkan keperluannya tidak merangkumi semua kategori masyarakat khususnya kepada orang Islam. Ia juga tidaklah mendatangkan mudarat dan bahaya kepada masyarakat jika mereka tidak meminumnya dalam tempoh PKP ini. Justeru, tiada kewajaran untuk Kerajaan memberi kebenaran kepada syarikat berkenaan untuk terus beroperasi di dalam tempoh PKP ini kerana sudah jelas terbukti bahawa penjualan arak tidak membawa apa-apa faedah pun kepada masyarakat;

Sebagai rakyat, saya dan ramai lagi di luar saya merasa sedih dengan keputusan yang diambil Kerajaan. Dalam tempoh PKP ini, surau dan masjid semua ditutup. Perniagaan juga tidak dibenarkan berjalan. Tiba-tiba, kilang arak dibenarkan untuk terus beroperasi. Ini sangat mengguris hati dan perasaan kami di kalangan rakyat yang beragama Islam;

Oleh yang demikian, Kerajaan melalui Kementerian KPDNHEP perlu segera memberikan penjelasan apakah maksud “BOLEH DIBUKA / BEROPERASI BAGI MEMASTIKAN PEMBEKALAN MAKANAN MENCUKUPI SEPANJANG TEMPOH PKP BERKUATKUASA” yang dinyatakan di dalam surat KPDNHEP kepada syarikat tersebut dan mengapa HEINEKEN Malaysia diberikan pengecualian.

Wallahu a’lam.

Sumber :