Pemuda Amanah gesa pembangkang kembali bersatu, ketepikan perbezaan

Pemuda Amanah gesa pembangkang kembali bersatu, ketepikan perbezaan

Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh MP Pembangkang daripada AMANAH dan Pakatan Harapan yang hadir dalam sidang Parlimen pada hari ini.

Dewan Rakyat semalam telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan dan pengurusan Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui undian belah bahagi.

Undian belah bahagi bagi kedua-dua RUU berjaya dilaksanakan, namun gagal diperingkat undian. Hal ini berikutan bilangan MP Pembangkang yang tidak mencukupi meskipun hanya 107 MP Kerajaan yang hadir dan mengundi RUU pada hari ini.

Berdasarkan dua keputusan undi belah bahagi terhadap dua RUU tersebut, jelas ahli Parlimen pembangkang tidak mempunyai persefahaman dan tidak bersatu. Terdapat segelintir ahli parlimen tidak hadir dalam sesi pengundian yang dijalankan yang menyebabkan RUU ini gagal ditolak. Kredit harus diberikan kepada semua ahli Parlimen AMANAH yang hadir dalam kedua-dua sesi pengundian.

Jumlah keseluruhan peruntukan Pengurusan Perdana Menteri (JPM) bernilai RM11.69 billion. Daripada RM11.69 billion, RM4.47 billion untuk tujuan perbelanjaan pengurusan dan RM7.2 billion bagi perbelanjaan pembangunan. Biarpun negara sedang berhadapan pandemik, kerajaan memilih untuk meningkatkan belanja JPM sebanyak RM482, bersamaan 10.7% kenaikan, tanpa ada satu justifikasi tuntas kenaikan tersebut diperlukan oleh JPM.

Selain itu, peruntukan yang kurang diberikan kepada Sarawak dan beberapa negeri lainnya. Sebaliknya sebanyak RM813 juta pula diperuntukkan untuk kerjasama awam swasta (PPP).

Kegagalan untuk menolak RUU ini juga amatlah mengecewakan ketika rakyat mengharapkan pembangkang menyemak dan imbang sebaiknya. Usahkan mengambilalih kerajaan, sewajarnya semua ahli Parlimen pembangkang bekerjasama dahulu, serta mengenepikan sebarang sentimen yang membibit perpecahan. Percayalah, rakyat di luar sedang menilai setiap perangai dan kerenah wakil rakyat yang mereka telah hantar ke dalam Parlimen.

SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Ketua Pemuda AMANAH Nasional

1 Disember 2020 | 16 Rabi’ulakhir 1442H