Pemuda Pas desak kementerian komunikasi sekat ‘Sugarbook’

Pemuda Pas desak kementerian komunikasi sekat ‘Sugarbook’

Pemuda PAS mendesak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menyekat laman web dan aplikasi Sugarbook susulan semakin ramai rakyat cenderung terhadap gejala yang disifatkan tidak bermoral.

Naib Ketua Pemudanya Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pengharaman laman web itu wajar dilaksanakan demi menjaga Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, keturunan dan maruah.

“Negara China boleh menyekat aplikasi Facebook untuk mengambil langkah keselamatan dari Amerika Syarikat manakala Amerika Syarikat pula boleh menyekat aplikasi TikTok atas alasan mempertahankan keselamatan kebangsaan, dasar luar dan ekonomi mereka dari China.

“Kenapa kita tidak boleh menyekat aplikasi Sugarbook demi menjaga agama dan generasi muda rakyat Malaysia?” soalnya dalam kenyataan di Facebook.

Afnan berkata, isu itu tidak boleh dianggap ringan memandangkan terdapat peningkatan sebanyak 40% pelajar pengajian tinggi mendaftar akaun di platform temu janji, Sugarbook bermula Jan 2021.

Katanya, sebelum ini Pemuda PAS dengan tegas menyuarakan pendirian susulan isu tular paparan iklan “billboard” Sugarbook di Kuala Lumpur pada Dis 2019.

Terdahulu, FMT melaporkan Malaysia menjadi “sarang” kepada 42,500 “sugar daddy”, ketiga paling tinggi di Asia selepas India (338,000) dan Indonesia (60,250), menurut SeekingArrangement laman “Sugar Dating” terbesar dunia.

Senarai itu diikuti Jepun yang mempunyai 32,500 “sugar daddy”, Hong Kong (28,600), Taiwan (27,300), Vietnam (12,000), Korea Selatan (7,000) dan Sri Lanka (5,000).

Ketua Pegawai Eksekutif Seeking Arrangement Brandon Wade berkata, jurang antara orang kaya dan miskin di Asia meningkat dalam dua dekad, mendorong lebih ramai wanita mencari lelaki lebih berusia kerana pelbagai faktor.

Ia disusuli kenyataan Sugarbook, platform temu janji “sugar daddy” terbesar di Asia melaporkan peningkatan 40% pelajar universiti mendaftar untuk menjadi “sugar baby” sejak Januari, dengan menyatakan krisis kewangan dialami golongan terbabit.

Platform itu turut mendedahkan senarai “top 10” universiti “sugar baby” di Malaysia di Lembah Klang termasuk dua universiti awam, dengan seramai 12,705 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan terjebak dalam kancah itu.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/13/demi-agama-keturunan-maruah-pemuda-pas-desak-kerajaan-haram-sugarbook/