Pemuda Pas ‘kepanasan’ Anwar dapat menghadap Agong selasa ini

Pemuda Pas ‘kepanasan’ Anwar dapat menghadap Agong selasa ini

PEMUDA PAS dengan ini menegaskan secara serius, mengecam keras keadaan dan situasi politik yang menggunakan taktik kotor dengan mengheret Institusi Istana sebagai modal politik berkepentingan bagi individu yang terlalu tamak dan kemaruk kuasa.

Ini adalah rentetan daripada pengumuman yang dibuat oleh pemimpin nombor 1 PKR, bagi mengadap Yang diPertuan Agong (YDPA) bagi mempersembahkan nama yang memungkin beliau menjadi Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) kerana kononnya telah mempunyai cukup majoriti.

Bagi pandangan Pemuda PAS, suasana begini amat dicela seolah mahu memberi ‘ugutan’ dan ‘hasutan’ yang berterusan terhadap keputusan YDPA yang telah memperkenan Perdana Menteri kini bukanlah seorang yang ‘diyakini memiliki majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan’ seperti yang telah termaktub di dalam Perlembagaan.

Bukanlah suatu yang rahsia di mana jika diingat kembali bagaimana situasi konflik politik pada bulan Mac, yang menyaksikan YDPA terpaksa memanggil seorang demi seorang Ahli Parlimen untuk menyatakan sokongan manakah yang mereka telah berikan apabila SD yang dipersembahkan kepada YDPA menemui jalan buntu. Dan adakah pemimpin ini mahukan perkara ini diulang semula? Seakan mengajar pihak Istana pula bagaimana mahu mentadbir negara sedangkan institusi ini bukanlah serendah itu mahu diperkotak-katikkan oleh pemimpin seperti ini!

Pemuda PAS akan terus mengikuti secara rapat apa yang akan berlaku pada 13 Oktober ini, yang dikatakan mempunyai majoriti yang ‘kukuh dan diyakini’, namun jika ianya adalah sekadar retorik, Pemuda PAS tidak teragak untuk mengadakan bantahan di seluruh negara dan mengheret ‘perangai’ ini kepada pihak berkuasa atas penghinaan terhadap Institusi Istana dan cubaan menghuru-harakan keharmonian negara.

Dalam masa yang sama, Pemuda PAS menyeru untuk semua ahli politik kerajaan terus jujur dan ikhlas memperteguhkan sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal dipertahankan sehingga ke PRU15, demi mengutamakan agenda rakyat dan usaha melawan musuh COVID19.

IR TS HJ KHAIRIL NIZAM
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 11/10/2020

Berita penuh : https://harakahdaily.net/index.php/2020/10/11/amaran-jangan-permain-institusi-diraja-dan-istana/