Pemuda PKR desak kerajaan PN hentikan budaya ugut terhadap media

Pemuda PKR desak kerajaan PN hentikan budaya ugut terhadap media

Merujuk kepada kenyataan yang dimuat naik ke Facebook oleh Dato’ Hussamuddin Hj Yaacub, Pengerusi Kumpulan Karangkraf berhubung ugutan oleh pegawai kepada menteri atau kementerian yang ingin membatalkan kontrak iklan daripada kementerian terlibat sekiranya pihak media memberi ruang kepada individu tertentu merupakan suatu amalan yang jelas bertentangan dengan etika kebebasan media.

Ini memberikan isyarat awal terhadap kemungkinan kebebasan media di Malaysia akan kembali malap hingga memberi kesan besar kepada pengamal media dalam menyampaikan berita dengan penuh bertanggungjawab, adil, professional, beretika dan berani yang selari dengan amalan demokrasi.

Isyarat ini bertambah kuat dengan kenyataan daripada YB Senator Datuk Razali Idris, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Negeri Terengganu yang mencadangkan agar pindaan terhadap Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dilaksanakan bagi mengenakan hukuman lebih tegas kepada rakyat Malaysia yang mengkritik institusi Perdana Menteri.

Usaha untuk menyekat media dan menutup mulut rakyat daripada bersuara adalah langkah kebelakang terjemahan daripada ketakutan dan sikap tidak mesra Kerajaan Perikatan Nasional kepada media sepertimana ditonjolkan oleh Perdana Menteri yang hanya gemar membuat perutusan namun jarang membenarkan sesi soal jawab dengan media tempatan serta tidak pernah membuka ruang soal jawab kepada media antarabangsa.

Pastinya ini akan mencemarkan imej kebebasan media Malaysia di peringkat antarabangsa dan menambah keraguan rakyat terhadap sejauh mana iltizam politik kerajaan PN untuk melaksanakan reformasi media di Malaysia.

Pendekatan PN amat berbeza berbanding PH sebelum ini yang komited terhadap agenda kebebasan media seperti dapat dilihat melalui laporan oleh badan antarabangsa iaitu Reporters Without Borders (RSF) dalam indeks tahunan Kebebasan Media Dunia 2020 yang menunjukkan Malaysia mengalami peningkatan amat memberangsangkan apabila menduduki tempat ke-101 berbanding tempat ke-145 pada tahun 2018.

Kerajaan PN digesa untuk menghentikan sebarang cubaan bersifat drakonian yang boleh menggugat kebebasan media di Malaysia. Industri media memainkan peranan siknifikan dalam melaporkan berita yang telus supaya rakyat dapat membuat pertimbangan yang adil terhadap sesuatu perkara dan usaha media ini perlulah dihargai, bukannya dicengkam.
Sekian.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan

Sumber :

COMMENTS