Memang betul, ada kala barang antik mempunyai nilai yang tinggi kerana ada permintaan dari peminatnya yang tersendiri.
Harga pula kebiasaannya ditawarkan mengikut kondisi, lagi cantik serta terpelihara maka tinggilah harganya dan sebaliknya.
Namun, ada sebahagian individu tetap memilih untuk menjual sesuatu barangan antik dalam keadaan usang dengan harga tidak masuk akal.
Menurut Vocket, satu hantaran iklan lelaki di platform Facebook ini telah menarik perhatian netizen apabila dia mahu menjual sejumlah basikal usang dengan harga yang mahal.
Di dalam hantaran itu, lelaki tersebut telah mengiklankan 10 buah basikal usang dengan meletakkan harga setinggi RM1,000 bagi sebuah.
Meneliti kondisinya, keadaan basikal sudah berkarat kepada keseluruhan rangka sepertinya menunggu masa untuk dilupuskan.
Lelaki itu kelihatan serius kerana sedia berunding untuk bertemu di Tanah Merah, Kelantan serta menguruskan penghantaran buat mereka yang berminat dengan basikal usangnya.
Agak mengejutkan juga kerana berdasarkan pemerhatian kami di grup tersebut, banyak basikal antik dengan kondisi yang lebih bagus ditawarkan dengan harga sekitar RM350 sehingga RM850 sahaja.
Hantaran lelaki itu ternyata telah menarik perhatian netizen dan ramai melabel ia sebagai satu yang tidak masuk akal biarpun dikira barang antik pada dasarnya.
Ramai berpendapar dengan keadaan yang cukup uzur, harga yang ditetapkan sudah menyamai seperti basikal baharu pula.
Selain terkejut dengan iklan tersebut, ramai mendakwa sudah menjadi satu perkara biasa pula buat individu sengaja memanipulasi harga sesuka hati tidak padan dengan keadaan barang yang dijual
BACA: Bermula dengan modal RM4, ini kisah kejayaan pengasas beras Faiza jadi pilihan ramai