Pendaftaran Pejuang, Muda ditolak kerana tak teratur – Hamzah

Pendaftaran Pejuang, Muda ditolak kerana tak teratur – Hamzah

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menolak pendaftaran Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) kerana tidak mematuhi Akta Pertubuhan 1966, menurut Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Hamzah berkata, selepas membuat semakan terperinci terhadap dokumentasi permohonan pendaftaran Pejuang dan Muda, ROS mendapati permohonan yang dibuat tidak teratur berdasarkan Jadual 1 akta tersebut.

“Oleh yang demikian, permohonan pendaftaran Pejuang dan Muda ditolak pada 6 Januari 2021 berdasarkan peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta 335,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan keputusan ROS untuk menolak pendaftaran Pejuang dan Muda.

Susulan itu, Muda memfailkan permohonan semakan kehakiman, dengan menamakan ROS dan Hamzah sebagai responden, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Januari lalu.

Dalam afidavit sokongannya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman antara lain mendakwa sebab sebenar penolakan pendaftaran berkaitan dengan keengganannya akur dengan permintaan seorang menteri untuk menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Pada masa sama, Pejuang juga menimbang untuk mengambil langkah sama jika Hamzah tidak memberi jawapan berhubung penolakan tersebut.

Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata Pejuang dan Muda boleh membuat rayuan kepadanya dalam tempoh 30 hari selepas tarikh penolakan.

Dia berkata jawatankuasa penaja Pejuang telah berbincang dengan ROS dan membuat rayuan pada 8 Januari lalu.

Bagaimanapun, katanya lagi, setakat ini jawatankuasa penaja Muda masih belum berbuat demikian.

“ROS menegaskan pertubuhan yang tidak didaftarkan di bawah Seksyen 7 Akta 335 adalah menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 41 Akta yang sama.

“Sekiranya ada mana-mana pihak yang menjalankan apa-apa aktiviti pertubuhan maka tindakan pendakwaan boleh dikenakan di bawah akta yang sama,” katanya lagi. -MKhttps://www.malaysiakini.com/news/561369