Pengalaman anak muda bekerja bersama Tan Sri Mohamad Ariff

Pengalaman anak muda bekerja bersama Tan Sri Mohamad Ariff

Masih segar dalam ingatan pertama kali menjejakkan kaki di Pejabat Speaker Dewan Rakyat untuk ditemuduga oleh Tan Sri (pada ketika itu Dato’). Perasaannya bercampur baur. Nervous? Sudah tentu!

Tetapi entah bagaimana, senyuman yang dilontarkan dan budi pekerti dalam tutur kata beliau memberikan sedikit ketenangan. Sebelum habis ditemuduga, saya diberitahu oleh beliau bahawa terdapat lagi seorang calon yang akan beliau temuduga.

Selesai ditemuduga, saya menuju ke Old Town White Coffee. Seperti biasa, Iced Hazelnut White Coffee dan iced water menjadi pilihan saya. Saya termenung. Ketika itu, saya baru sahaja 2 minggu mendaftarkan firma Tetuan Fatihah Salahuddin. Saya pada ketika itu mempunyai 6 Fail (5 di KL dan 1 di Johor). Keputusan membuka firma ketika itu tidaklah disokong kuat oleh keluarga kerana faktor umur yang muda dan pengalaman yang tidak luas. Namun, tidak menjadi halangan pada saya.

Sambil menyedut minuman, saya berfikir apakah laluan jalan yang diatur oleh Allah untuk saya. Banyak perkara yang difikirkan dan dipertimbangkan sehinggalah sedar-sedar, kopi saya sudah habis!

Lebih kurang seminggu selepas itu, ketika berada di dalam program Amanah, saya menerima panggilan daripada Pejabat Speaker bahawa saya terpilih untuk mengisi jawatan Setiausaha Sulit Speaker Dewan Rakyat.

Hari Pertama di Pejabat Speaker adalah merupakan hari yang saya kira agak gemuruh. Sebagai seorang peguam, saya sedar bekerja dengan seorang yang pernah menjadi hakim itu adalah merupakan peluang yang besar dan memerlukan komitmen yang tinggi memandangkan hakim pada kebiasaannya mempunyai high expectation. Masih segar dalam ingatan bahawa Tan Sri berpesan jangan hanya menjalankan tugas sebagai Setiausa Sulit sahaja. Jadilah seorang pegawai yang multi-task.

Kurang sehari daripada tempoh sebulan sebagai SUS, buat julung-julung kalinya sebuah program bersama SUHAKAM diadakan di Parlimen. Itu adalah merupakan program sulong saya belajar daripada pegawai dan kakitangan Parlimen untuk dikendalikan.

3 bulan pertama, saya perhati dan belajar selok belok serta kerenah birokrasi di Parlimen. Ini bagi memudahkan untuk kami di Pejabat Speaker berurusan dengan pelbagai Bahagian yang mempunyai spesifikasi tugas yang berbeza. Kudos kepada pegawai dan kakitangan Parlimen yang sudi memberi tunjuk ajar.

Tan Sri sebagai seorang Speaker pada ketika itu mempunyai visi yang jelas. Beliau menjadikan Buku Harapan dan Commonwealth Parliamentary Association (CPA) Recommended Benchmarks for Democratic Legislatures sebagai panduan bagi menjalankan reformasi di Parlimen…….

Akan bersambung Bahagian 2………

Sumber :