Peniaga pasar malam rayu agar dibenarkan berniaga semula

Peniaga pasar malam rayu agar dibenarkan berniaga semula

Selepas mendapat “lampu hijau” dari Kuantan dan berkemungkinan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pengusaha pasar malam kini mendesak pihak berkuasa membenarkan mereka kembali berniaga di seluruh negara.

Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia yang mewakili 200,000 peniaga berkata, Kuantan adalah pihak berkuasa tempatan pertama yang membenarkan mereka beroperasi pada 23 Jan.

“Sekarang, DBKL sedang menunggu persetujuan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memberi kita lampu hijau. Sekiranya SOP diluluskan, kami akan dibenarkan beroperasi,” kata setiausaha agung persatuan itu, Mohamed Zamri Mohammed kepada FMT.

PKP 2.0 berakhir 4 Feb in dan diharap kerajaan akan membuat pengumuman sama ada ia akan dilanjutkan atau diganti dengan PKP bersyarat.

Zamri berkata, mereka berharap dapat memulakan perniagaan dari 5 Feb dan seterusnya kerana peniaga dapat memperoleh sedikit hasil ketika musim Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 12 Feb.

Katanya, perniagaan kembali meningkat selepas PKP pertama pada Jun tahun lalu tetapi merosot semula selepas pilihan raya Sabah pada Sep 2020.

“Perniagaan kami merosot 70% selepas kes mula naik pada Sep hingga Dis. Sejak PKP 2.0 bermula (13 Jan) perniagaan kami kembali ke tahap sifar,” katanya.

Beliau berkata, dengan amalan SOP yang betul, semua negeri sepatutnya membenarkan pasar malam beroperasi. Jika tidak, lebih ramai lagi yang akan menutup perniagaan.

“Peniaga pasar malam tiada pendapatan sampingan lain,” katanya.

Antara SOP yang diberikan oleh DBKL kepada peniaga adalah beroperasi secara selang hari, menempatkan pegawai penguat kuasa untuk memastikan SOP dipatuhi, pintu masuk dan keluar yang diasingkan, pemeriksaan suhu di pintu masuk, pelitup muka dipakai setiap masa, dan hanya dua ahli keluarga yang dibenarkan ke kawasan pasar malam.

SOP lain termasuk pembelian untuk dibawa pulang saja dibenarkan dan waktu operasi terhad dari 4 petang hingga 10 malam.

Zamri berkata, peniaga sudah biasa dengan SOP ditetapkan kerana hampir sama dengan PKP yang pertama.

Minggu lalu, Putrajaya mengumumkan restoran, gerai makanan, dan kedai yang menjual barangan makanan akan dibenarkan beroperasi hingga 10 malam mulai esok. Bagaimanapun, makan di restoran masih tidak dibenarkan.

Kelonggaran diberikan selepas orang ramai merungut dengan waktu perniagaan yang singkat dari 6 pagi hingga 8 malam. – FMT