Penjara tanpa tembok Singapura, ini kisah mengapa warden penjara dibunuh dengan kejam sehingga penjara ditutup.
Ia adalah satu percubaan dalam mendirikan sebuah penjara tanpa tembok pertama di salah sebuah pulau di Singapura, yang mendapat perhatian dunia ketika itu.
Ia bagi menempatkan pesalah-pesalah kumpulan kongsi gelap, sebagai tempat pemulihan yang melibatkan banduan-banduan itu melakukan kerja-kerja semasa dalam tahanan.
Namun, dalam tempoh tiga tahun sahaja, penjara percubaan itu berubah menjadi abu dengan kawasan petempatan tersebut musnah akibat api. Pegawai superintendannya pula dijumpai mati ditetak.
Di mana silapnya?
Sebuah dokumentari dua bahagian – Riot Island memaparkan sejarah pembukaan dan kemudian berakhirnya penjara terbuka Singapura di Pulau Senang, dan bagaimana ia mengubah kehidupan mereka yang terlibat.
Bagaimana ia bermula?
Gagasan membuka petempatan Pulau Senang tercetus daripada idea menyediakan penjara yang lain daripada lain di tengah-tengah keadaan di mana penjara di tanah besar Singapura sendiri sudah penuh sesak.
Kumpulan-kumpulan kongsi gelap berleluasa pada tahun-tahun 1950-an dengan anggota-anggota samseng berkeliaran dan menakutkan orang ramai. Mereka terlibat dalam pelbagai jenayah seperti perjudian, pelacuran dan penjualan dadah.
Dapatkah kerja kerah memulihkan seseorang samseng tegar? (Foto: Kementerian Kebudayaan, ihsan Arkib Negara Singapura)
“Mangsa tidak berani pergi ke balai polis kerana takut menjadi mangsa balas dendam pula,” demikian ingatan pegawai polis bersara Sukhdev Singh, yang dibesarkan pada era itu. Rasuah dalam pasukan polis juga pada tahap tinggi ketika itu, kata beliau.
“Dari atas sehinggalah ke bawah, semua (anggota polis) boleh disogok.”
Untuk menangani samseng-samseng, kerajaan British meluluskan Akta Undang-undang Jenayah (Peruntukan Sementara) 1955, yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk menahan mereka tanpa bicara.
Inilah yang menyebabkan penjara-penjara menjadi terlalu sesak, kata ahli sejarah Donna Brunero dari Universiti Nasional Singapura (NUS), “kerana (pihak berkuasa) menahan ramai penjenayah yang disyaki, tetapi ia tidak dapat mengendalikan kes mereka menerusi proses undang-undang keseluruhannya”.
C V Devan Nair, salah seorang pemimpin gerakan anti-penjajah pada masa itu, merupakan penyokong bagi penjara terbuka di Pulau Senang. Setelah beliau sendiri menamatkan tahanan sebanyak dua kali di situ pada 1950-an, beliau “mula berminat supaya dibina penjara untuk pemulihan”, kata anaknya Janadas Devan.
C V Devan Nair pernah dua kali menjadi tahanan politik. (Foto: Koleksi Kementerian Kebudayaan, ihsan Arkib Negara Singapura)
Selepas dibebaskan pada kali kedua pada Jun 1959, Devan Nair mendesak pihak berkuasa ketika itu supaya menubuhkan suruhanjaya penjara, kata Janadas.
Penubuhan “penjara sederhana” katanya, merupakan sebahagian daripada idea pemulihan dalam penjara.
Pulau Senang – yang merupakan salah sebuah pulau paling selatan di Singapura, yang terletak 13 kilometer dari tanah besar – adalah tapak yang dipilih untuk penjara tersebut.
Seperti namanya, Pulau Senang, dianggap pulau yang selamat digunakan sebagai kawasan tahanan jenayah. Ini memandangkan ia dikelilingi perairan yang dipenuhi dengan ikan jerung dan arus deras.
Ini semua menyukarkan sebarang percubaan untuk melarikan diri, kata Kevin Tan dari Fakulti Undang-Undang NUS.
BACA:
“Habis semua duit simpanan saya!” – Wanita dedah teknik scam terbaru oleh scammer