Perahu sudah di air, Dayung sudah di tangan

Perahu sudah di air, Dayung sudah di tangan

Pilih antara satu.

Kembali menerajui Putrajaya atau berputih mata dan lupakan impian kerana kecurigaan itu lebih utama.

Ya, akan ada yang berkata dan mengungkit masakan rela dipatuk ular ditempat yang sama oleh ular yang sama sebanyak dua kali.

Kalau mengenangkan ini semua, PH boleh tutup buku dan berusahalah lagi dalam pilihanraya umum ke-15 yang pada perkiraan saya semuanya belum pasti.

Saya tidak melihat agenda siapa menjadi PM sebagai terlalu penting dan istimewa kerana saat ini siapa yang menjadi PM dugaannya akan menjadi lebih mencabar.

Apa yang lebih utama ialah bagaimana menjayakan janji yang terbengkalai yang pernah kita ungkapkan kepada rakyat sebagai manifesto dan janji yang masih belum terlaksana.

Jika janji lalu kita abaikan maka rakyat siap sedia menukar haluan baru yang kita sendiri belum tahu.

Kepada DS Anwar “kelukaan” tidak akan terubat melalui rasa putus asa. Dan saya percaya Anwar bukan seorang yang mudah mengalah.

Menerima Tun Mahathir sebagai PM bukan bererti DAP, Amanah mahupun Warisan sudah lupa kawan.

Kepada saya, rakan rakan PH tetap bersama namun mereka juga terkesan kerana hasrat untuk menjayakan impian rakyat terhalang kerana sikap membisu PKR.

Hari ini, pendirian PKR ditagih dan sesudah itu percaturan politik negara akan berubah samada kekal ataupun tanpa PKR.

Tak akan lari gunung dikejar. Di mana pegangan kita dan keyakinan “kun Fayakun”.

Berdasarkan perkembangan, jika Datuk Seri Anwar meneruskan kesabaran yang menjadi amalan beliau selama ini, dia tetap akan berada disinggahsana.

Namun jika percaturannya lebih berkiblatkan kepada nafsu penyokong, perjuangannya menuju puncak akan rebah.

Walau dipuji rebah yang bermaruah namun hasrat tinggal impian.
Mana mungkin seorang pejuang mengalah dipertengahan jalan sedangkan garis penamat hanya berbaki enam bulan.

Janganlah hendaknya pemikiran Anwar diasak dengan hasutan “tidak percaya” kepada Tun Dr Mahathir kerana ia hanya akan menenggelamkan kapal yang sedang dibaki selepas dilanda taufan.

PH diundi rakyat bukan untuk menjadi pembangkang tetapi untuk menjadi pemerintah. Kalau kita memilih menjadi pembangkang maka kita mengkhianati hasrat rakyat dalam PRU-14 yang lalu.

Pengamatan saya dilema Datuk Seri Anwar lebih terjurus kepada desakan bertali arus penyokong PKR yang mahukan beliau segera diangkat sebagai Perdana Menteri dan bukan kerana terlalu sulit untuk menerima kehendak rakan rakan dalam PH.

Keyakinan saya DS Anwar akan akur kepada kehendak PH kerana dia bijak membaca situasi politik semasa. Dia lebih mengenali sepak terajang politik.

Bukan setakat memenuhi tepuk sorak penyokong tapi tangisan selama berpuluh tahun. Apakah dengan kekal berdiri tegak akan menjadikan dia kekal di situ?

Jawapannya tidak ,kerana berundur dari ditimpa hujan lebih baik daripada mati berdiri ditengah panas.

Bukan faktor tunduk kepada Tun Mahathir atau DAP atau Warisan atau Amanah tetapi tunduk kepada kehendak rakyat yang perlukan pembelaan semua kerana kesan kehidupan yang amat terasa saat ini.

Persimpangan yang tidak terlalu sulit untuk dipilih. Haluan yang terbentang luas dan pasti dia terlalu bijak untuk menilai antara kepentingan peribadi dan keutamaan menjayakan harapan rakyat kebanyakan.

Nada suara DAP menerusi Loke dan khalid Samad mewakili Amanah cukup membuktikan rakan PKR tiada hasrat mengkhianati kawan.
Terpulang kepada DS Anwar kerana dayung sudah ditangan dan perahu sudah di air.

Mana mungkin Anwar mendengar rintihan semua kerana sisi perhatian beliau sebagai pemimpin nombor wahid dalam PKR berbeza dan memerlukan beliau membuat keputusan segera yang berpijak dibumi nyata.

Selamat maju jaya.

DDM

Sumber: