Sejak zaman dahulu, kenderaan bermotor telah dikuasakan oleh minyak petrol dan diesel sebagai bahan bakar utama.
Namun, untuk jangka masa panjang, sumber bahan bakar ini semakin berkurangan dan penggunaannya yang tidak mesra alam
Telah mendorong syarikat pengeluar kereta untuk mencipta inovasi dengan menggunakan sumber tenaga alternatif seperti elektrik atau Kenderaan Elektrik (EV).
Setiap tahun, semakin ramai yang beralih kepada kenderaan ini kerana dilengkapi dengan pelbagai ciri baharu termasuk yang mesra alam.
Walau bagaimanapun, adakah anda pernah terfikir kenapa syarikat pengeluar kereta hanya mengeluarkan kenderaan yang menggunakan sumber tenaga elektrik dan tidak sumber tenaga solar?
Walaupun matahari adalah sumber tenaga yang melimpah ruah dan tidak terhad, mengapa kenderaan solar tidak diperkenalkan di jalan raya? Mari kita lihat perkongsian di bawah.
Kenapa Tiada Kenderaan Solar?
Matahari adalah sumber tenaga tanpa had dan tidak membebaskan gas-gas yang menyumbang kepada peningkatan gas rumah hijau seperti pelepasan gas karbon dioksida oleh petrol.
Jadi, kenapa syarikat kereta lebih tertumpu kepada projek kenderaan elektrik dan hidrogen dan bukannya solar?
Pertama-tama, keupayaan penyerapan panel solar bersaiz kereta adalah terhad disebabkan oleh faktor sebenar dunia.
Secara teori, panel solar seperti yang terdapat pada Tesla Model 3 boleh menerima sehingga 12 kW atau setara dengan 16 hp secara terus dari matahari.
Kuasa ini cukup untuk memastikan Model 3 bergerak pada kelajuan 100 km/j tanpa perlu mengecas. Namun, faktor seperti pantulan cahaya matahari hingga tanah menyebabkan penyerapan ini menjadi sukar.
Apabila cahaya matahari dipancarkan dan diserap oleh atmosfera, hanya kira-kira 55 peratus daripada tenaga yang diterima yang mencapai tanah.
Tambahan pula, penyerapan tenaga solar hanya berlaku pada waktu siang, dan puncak tenaga terjadi pada tengah hari. Pada pagi dan petang, kedudukan matahari yang lebih rendah menyebabkan pengecasan tenaga menjadi terhad.
Selain itu, faktor lain yang menyukarkan realisasi kenderaan solar adalah teknologi yang terhad.
Walaupun panel solar mampu menyerap tenaga maksimum, namun hanya sekitar 33.7 peratus daripada tenaga suria yang diserap dapat ditukarkan kepada tenaga elektrik untuk digunakan.
Jika mengambil kira kehilangan tenaga semasa pengecasan dan penggunaan motor, tenaga yang dihasilkan hanya cukup untuk memacu kereta pada kelajuan purata sekitar 12 km/j tanpa memperhitungkan kelajuan maksimum.
Walaupun membiarkan kereta di bawah matahari untuk mengumpul tenaga adalah satu pilihan, proses ini memakan masa yang lama.
Contohnya, Tesla Model 3 memerlukan masa lebih kurang 200 jam untuk mengecas sepenuhnya bateri 75-kWj tanpa cuaca mendung.
Mengambil kira semua perkara ini, penggunaan kenderaan solar di atas jalan raya bukanlah satu pelaburan yang praktikal atau berbaloi. Oleh itu, pada masa kini, konsep kenderaan solar dianggap tidak relevan untuk digunakan secara meluas.