Peraturan baru bermakna para menteri “bebas” dedahkan orang lain kepada risiko selama tujuh hari – Dr Dzulkefly

Peraturan baru bermakna para menteri “bebas” dedahkan orang lain kepada risiko selama tujuh hari – Dr Dzulkefly

Ahli-ahli parlimen pembangkang membidas perintah baru berkenaan pengurangan tempoh kuarantin kepada menteri yang melakukan perjalanan rasmi ke luar negara, dari 10 hari kepada hanya tiga hari.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, dengan mengambil kira tempoh inkubasi yang dicadangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu 10 hari, perintah baru itu bermakna para menteri “bebas” mendedahkan orang lain kepada risiko selama tujuh hari.

Dia mendakwa perubahan itu dibuat demi “kepentingan golongan berkuasa” dan merupakan tindakan yang “tak bertanggungjawab, dikesalkan serta hina”.

“Melainkan menteri-menteri semua divaksin (seorang pun belum divaksin), mereka sebenarnya membahayakan nyawa orang lain dalam masa tujuh hari mereka bebas (bergerak).

“Lebih-lebih lagi majoritinya dalam kumpulan berisiko tinggi (lebih 60 tahun) dan sebahagian ada penyakit kesihatan sedia ada seperti hipertensi dan diabetes, mereka juga membahayakan kesihatan sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perintah itu dikeluarkan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba semalam dan dinamakan “Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021” dalam Warta Persekutuan.

Berkuat kuasa hari ini, ia antara lain menyebut “Menteri (Dr Adham Baba) mengecualikan jemaah menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara daripada pemakaian seksyen 15 Akta”, merujuk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Seksyen 15 akta menyebut: “Seseorang pegawai diberi kuasa boleh memerintahkan supaya mana-mana kontak menjalani pemerhatian di mana-mana tempat dan bagi apa-apa tempoh yang difikirkannya patut, atau menjalani pengawasan sehingga dia boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.”

Kata Dzulkefly lagi, perintah itu melambangkan penyalahgunaan kuasa yang memang dibimbangi pembangkang dengan proklamasi darurat.

Dia menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menyenaraikan kriteria pengecualian tersebut bagi mengelak tanggapan bahawa ia satu kelebihan buat jemaah menteri.

Katanya lagi, kesilapan langkah dalam pengurusan wabak dan berat sebelah dalam pelaksanaan prosedur operasi piawai (SOP) melebarkan lagi defisit kepercayaan di kalangan rakyat yang penting dalam usaha melawan Covid-19.

Setakat ini, tidak jelas apakah perintah itu akan dikenakan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang kembali ke Malaysia pada Jumaat lalu (5 Februari) setelah lawatan rasmi dua hari ke Indonesia.

Jika perintah itu turut terpakai untuk lawatan Muhyiddin, maka dia bebas daripada kuarantin hari ini.

Turut menyifatkan perintah baru ini sebagai berat sebelah, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berpandangan bukan kebetulan yang perintah itu dikeluarkan dalam tempoh yang hampir sama dengan kepulangan Muhyiddin.

“Kesalahan bukan sepenuhnya ditanggung Dr Adha untuk keputusan ini, meskipun pewartaaan itu ditandatanganinya. Ini pastinya satu keputusan kolektif Kabinet.

“Masa kembalinya perdana menteri dari Indonesia meskipun bilangan kes Covid-19 adalah tinggi di sana juga bukan kebetulan.

“Adakah kerajaan PN menghantar mesej bahawa virus itu tidak menjangkiti VVIP? Adakah Covid-19 di Malaysia ini sangat istimewa sehingga ia mungkin termutasi menjadi satu strain baru yang boleh membezakan antara rakyat biasa dengan VVIP?” soalnya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dia menggesa kerajaan membuat keputusan berdasarkan data dan sains dan bukan pertimbangan politik semata-mata.

“Kerajaan PN isytihar darurat dengan mendakwa perlu undang-undang lebih tegas untuk menyekat virus, tetapi sebaliknya ia beri pengecualian kepada menteri. Pada masa sama, Parlimen dan DUN masih tak boleh bersidang.

“Kerajaan dakwa mereka mahu mengubah undang-undang untuk menaikkan denda dan hukuman kepada rakyat yang langgar SOP tetapi untuk menteri, mereka ubah undang-undang supaya ‘dikecualikan’.

“Di negara lain, menteri letak jawatan kerana melanggar SOP Covid-19. Di Malaysia, menteri ubah undang-undang untuk membolehkan mereka melanggarnya,” katanya lagi.

‘Menteri juga boleh kerja dari rumah’

Bekas timbalan menteri kesihatan yang juga Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye mempersoalkan kenapa menteri tidak boleh menjalani tempoh kuarantin yang diperlukan.

“Mana boleh ada berat sebelah dalam SOP, satu untuk rakyat biasa dan satu lagi untuk VIP,” katanya ketika dihubungi.

Dia berkata, gejala jangkitan mungkin bermula seminggu selepas mana-mana individu pulang dari luar negara dan untuk kes sedemikian, kebolehjangkitan hanya bermula pada hari kelima.

“Kuarantin hanya tiga hari mungkin akan menyebabkan kluster menteri, lebih-lebih lagi kerana mereka biasa berinteraksi dengan ramai orang.

“Sedangkan rakyat diarahkan kerja dari rumah, tidakkah menteri juga boleh kerja dari rumah?

“Jutaan pelajar belajar secara dalam talian sekarang. Tidakkah menteri juga boleh buat mesyuarat secara dalam talian?” soalnya lagi.

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin tidak ketinggalan membidas pengecualian berkenaan dalam satu ciapannya di Twitter.

“Bolehkah kalau saya ke luar negara saya hanya dikuarantin tiga hari? Apakah beza tubuh saya dengan tubuh mereka yang mendapat kelonggaran ‘istimewa’?” soalnya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/562297