Amin Idris, sebuah nama yang tidak asing lagi dalam dunia pengacaraan negara, bukan sahaja terkenal sebagai pengacara TV, tetapi juga sebagai penceramah motivasi, pendakwah bebas, penulis buku, dan personaliti media sosial.
Namun, di sebalik kejayaan cemerlang yang dimilikinya, ramai yang mungkin tidak tahu mengenai perjalanan hidupnya yang penuh dengan cabaran dan perubahan.
Menerusi temubual bersama SinarPlus dalam program Borak Bibir Merah, Amin yang juga merupakan pemegang ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkongsi kisah dirinya yang sangat berbeza.
Siapa sangka, beliau sebenarnya seorang mualaf yang dilahirkan dalam keluarga yang berbilang bangsa dan agama.
Ayahnya berketurunan India dan Iban, manakala ibunya berasal daripada keturunan Siam, Cina, dan Filipina.
“Nama saya dahulu James Kelson Dambu Murthy, gabungan nama Iban dan India. Saya menggunakannya semasa di darjah satu. Saya masuk Islam pada usia empat tahun,” katanya sambil berkongsi kisah awalnya sebagai saudara baru dalam agama Islam.
Keputusan ibunya yang membawa keluarga berpindah ke Kelantan selepas perpisahan mereka, membawa Amin ke satu fasa baru dalam hidupnya. Setelah memperoleh keputusan UPSR, ibunya telah memaksanya untuk memasuki sekolah agama walaupun pada mulanya dia berasa ragu.
“Walaupun mak tak benarkan saya masuk asrama penuh, dia tetap paksa saya ke sekolah agama. Saya masuklah SMKA Falahiah di Kelantan,” katanya. Di sekolah itulah, hidup Amin berubah apabila beliau mula mendalami ilmu agama secara serius.
Kisahnya tidak terhenti di situ. Amin menceritakan bagaimana dirinya, pada mulanya, tidak tahu langsung tentang wuduk dan solat. “Masa minggu orientasi, saya terkebil-kebil sebab tak pandai ambil wuduk. Saya ikut orang sebelah untuk tiru,” katanya sambil ketawa mengenangkan pengalaman lucu itu. Namun, ia adalah titik permulaan bagi perubahan besar dalam hidupnya. Hari demi hari, solat lima waktu dan puasa yang sempurna menjadi kebiasaan, dan ilmu agama semakin mendalam dalam jiwanya.
Sebagai pengacara program Tazkirah Malam Jumaat di Astro Oasis, Amin juga sedang berusaha menghasilkan buku baru yang bakal diterbitkan tidak lama lagi.
Mengenai kehidupan peribadinya, Amin mengungkapkan bagaimana dia mengutamakan masa bersama anak-anaknya. “Saya pastikan anak-anak belajar di sekolah agama dan kami berjemaah bersama, terutamanya waktu Maghrib dan Isyak. Di rumah, saya cuba berkongsi tazkirah dengan mereka,” katanya.
Sebagai bapa, Amin mahu anak-anaknya mendapat kasih sayang yang penuh, sesuatu yang tidak pernah dirasainya semasa kecil. “Saya tak pernah merasai kasih sayang seorang ayah semasa sekolah.
Jadi, bila saya jadi ayah, saya pastikan semuanya untuk anak-anak, termasuklah menghantar mereka ke asrama dan melawat mereka,” tambahnya.
Amin juga berkongsi tentang pengaruh dunia moden dalam mendidik anak-anak. Walaupun dia tidak minat K-pop, Amin mengambil pendekatan untuk mengetahui lebih tentangnya demi membina hubungan yang lebih rapat dengan anak-anaknya.
“Saya kongsikan video bersama anak-anak sebab terlalu banyak kes ayah yang tidak berfungsi sebagai ‘bapa’. Isu isteri pula, saya lebih memilih untuk menjaga privasi,” katanya.
Menurut Amin, teknologi semasa memang banyak membantu, tetapi ia tidak boleh menggantikan sentuhan fizikal dan kasih sayang yang sepatutnya diberikan secara langsung kepada anak-anak.
“Kita kena pastikan walaupun hidup dalam era digital, kasih sayang dan perhatian fizikal kepada anak-anak tetap menjadi perkara yang utama,” tegasnya.
BACA: Mulai tahun ini, denda KERAS untuk pemandu yang biar pintu kereta terbuka – Ini jumlahnya!