Perjuangan agama, bangsa dan tanah air tidak lagi sesuai dengan Umno – Pemuda Bersatu

Perjuangan agama, bangsa dan tanah air tidak lagi sesuai dengan Umno – Pemuda Bersatu

Perkataan ‘ABATA’ (agama, bangsa dan tanah air) yang sinonim dengan perjuangan UMNO sudah tidak boleh diguna pakai lagi kerana semuanya dianggap palsu setelah mereka menjatuhkan kerajaan majoriti Melayu dan Islam di Perak dengan bersekongkol bersama pembangkang daripada DAP.

Itu merupakan pandangan Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Muhammad Amiin Ridhuwan berikutan krisis hangat kedudukan jawatan Menteri Besar Perak yang turut mengaitkan UMNO.

Muhammad Amiin berkata, dengan menggunakan peribahasa Melayu, ‘tikam belakang’ itulah yang dilakukan oleh kesemua 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak sehingga pembentangan belanjawan negeri itu tergugat dan pelbagai pelan insentif yang ingin diberikan kepada rakyat terbantut seketika.

“Mereka tidak langsung memikirkan soal kesengsaraan rakyat pada waktu ini. (Mungkin) mereka sudah lama merancang untuk menjatuhkan seorang menteri besar.

“Jadi UMNO sudah tidak relevan lagi dengan slogan memperjuangkan orang Melayu, agama dan bangsa sekiranya mereka sanggup tidur sebantal dengan DAP untuk membentuk kerajaan baharu di Perak.

“Hari ini kita boleh lihat apabila Pas dan Bersatu berasa kecewa dengan tindakan mereka dan kemungkinan tidak akan bersama kerajaan yang akan dibentuk nanti,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Muhammad Amiin menyifatkan, Bersatu dan Pas cukup bersabar dengan kejutan daripada pihak UMNO yang langsung tidak menghormati gabungan perikatan ini.

“Presiden UMNO juga sanggup berkolaboratif dengan DAP demi sebuah cita-cita untuk mendapatkan kerusi menteri besar kepada anak buahnya. Bila mereka ‘cah keting’ kawan sendiri, tapi berharap kawan mengangkat mereka semula, itu satu tindakan yang silap.

“Kami tidak akan balas dendam melalui sidang dewan di Johor dengan apa yang berlaku di Perak di mana UMNO menjatuhkan Timbalan Presiden kami, namun kami lebih memikirkan keadaan rakyat daripada kepentingan peribadi,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Amiin turut mempersoalkan tindakan UMNO itu sambil menyifatkan mereka perlu bersabar dan tunggu sehingga PRU15 tidak lama lagi.

Tegasnya, sekarang bukan masa parti politik bergaduh sebaliknya masa untuk semua pihak membantu rakyat yang semakin susah.

“Keretakan dilakukan UMNO ini telah membuka mata semua pihak bahawa mereka ingin berkuasa dan memang tidak boleh duduk lama di ‘second fiddle’ seperti kata Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dalam wawancara oleh Sinar Harian baru-baru ini.

“Bagi saya, politik yang mereka bawa ini bukan setakat boleh duduk di ‘second fiddle’ tetapi sepatutnya berada lebih bawah lagi. Bila bangsawan tidurnya biasa di dalam sejuknya ‘aircond’ mana mungkin nak merasai tidur di bawah sejuknya kipas, itu tidak sama,” dakwanya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/113769/BERITA/Politik/ABATA-tidak-lagi-sesuai-dengan-UMNO