Perkahwinan wanita melayu dengan pemain hoki India masih dalam siasatan

Perkahwinan wanita melayu dengan pemain hoki India masih dalam siasatan

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) masih belum dapat mendedahkan siasatan berhubung kes perkahwinan wanita Malaysia, Illi Najwa Saddique dengan kapten pasukan hoki India, Manpreeet Singh Pawar.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, siasatan kes berkenaan masih berjalan, namun perkembangan baharu siasatan masih belum dapat dihebahkan.

“Kes ini masih dalam siasatan namun JAINJ belum dapat mendedahkan butirannya.

“Beri ruang kepada JAINJ untuk selesaikan siasatan dahulu, kerana siasatan masih berjalan. Selepas siasatan selesai, akan dipersembahkan dahulu kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada kaunter terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai di Bandar Putra Kulai di sini pada Rabu.

Terdahulu, pada Selasa media melaporkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, beliau belum ada kepastian sama ada Illi Najwa sudah kembali ke Malaysia selepas dilaporkan berkahwin dengan Manpreet pada Disember tahun lalu.

Katanya, siasatan kes perkahwinan terbabit diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), kata Ahmad Marzuk Shaary.

Isu terbabit turut mendapat perhatian Sultan Ibrahim menerusi kenyataan di Facebook rasmi baginda yang melahirkan rasa berduka cita dengan berita yang tersebar di media berhubung pasangan itu yang dikatakan mengadakan majlis resepsi perkahwinan di India mengikut acara keagamaan yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Isu membabitkan Illi Najwa timbul selepas tular beberapa gambar dan video wanita itu melangsungkan majlis perkahwinan tersebut pada Disember tahun lepas. – SH