Perlembagaan Mana Yang Benarkan Dewan Rakyat Memilih Perdana Menteri? – Peguam

Tiada peruntukan dalam perlembagaan persekutuan untuk Dewan Rakyat memilih antara anggotanya sebagai perdana menteri, kata peguam perlembagaan Dominic Puthucheary.

“Dewan Rakyat hanya tempat untuk menguji sama ada perdana menteri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mempunyai sokongan majoriti,” katanya kepada FMT.

Katanya seseorang itu perlu mendapatkan sokongan sekurang-kurangnya 112 daripada 222 Ahli Parlimen untuk terus berkhidmat untuk mentadbir negara dengan bantuan Kabinetnya.

Puthucheary mengulas sebagai tindak balas kepada pengumuman Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini bahawa ketua kerajaan yang akan datang akan dipilih di Dewan Rakyat pada 2 Mac.

Mahathir berkata Yang Di Pertuan Agong telah mendapati bahawa tiada siapa yang mempunyai majoriti jelas untuk membentuk kerajaan.

“Dan kerana tidak ada yang dapat majoriti, baginda menitahkan menggunakan forum yang betul iaitu Dewan Rakyat. Bagaimanapun, baginda berkata jika Dewan Rakyat gagal mencari wakil rakyat yang mendapat majoriti, pilihan raya akan diadakan,” kata Mahathir petang ini.

Difahamkan selain daripada Mahathir, Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin turut dicalonkan.

Agong telah menemubual Ahli Parlimen pada hari Selasa dan Rabu untuk menentukan siapa yang mempunyai sokongan majoriti.

Pada hari Isnin, Mahathir tiba-tiba mengumumkan peletakan jawatannya tetapi kemudiannya dilantik untuk memegang jawatan Perdana Menteri Interim .

Puthucheary, bekas Ahli Parlimen Nibong Tebal, berkata perlembagaan itu dimodelkan dengan sistem British dan prosedur yang dinyatakan oleh Mahathir adalah “sangat cacat”.