Permohonan maaf JKR kepada Khairy bangkit kemarahan mangsa jalan berlubang

Permohonan maaf JKR kepada Khairy bangkit kemarahan mangsa jalan berlubang

Sudah lapan tahun detik hitam itu berlaku. Semalam, ‘luka lama’ Muhammad Azizi Abdul Manab berdarah kembali selepas terpapar kontrovesi Jabatan Kerja Raya memohon maaf kepada Khairy Jamaluddin kerana kemalangan langgar lubang jalan.

Pada 2012, kaki Azizi terpaksa dipotong dua hari selepas dilanggar kereta yang cuba mengelak sebuah lubang besar di Jalan Pantai Dalam, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Ketika itu, Azizi menunggang motorsikal dan kawannya membonceng.

Keadaan jalan raya tidak rata dan berlubang di kawasan Sekolah Rendah Agama Taman Tun Perak, Cheras, Selangor.

Dalam sekelip mata, Azizi menjadi mangsa kemalangan lubang ‘maut’. Namun berbeza dengan Khairy, tidak ada mana-mana pihak tampil memohon maaf kepada beliau, apatah lagi memberi bantuan untuk membina semula kehidupannya.

“Saya dapat tahu kereta yang langgar saya itu (cuba) mengelak daripada melanggar lubang di jalan.

“Lepas sebulan barulah ada pihak daripada DBKL datang menampal lubang itu, dan sehingga kini tiada mana-mana pihak terlibat pun datang buat permohonan maaf,” kata Azizi kepada FMT.

Azizi tidak kisah dengan tindakan JKR memohon maaf kepada Khairy atas kemalangan yang menimpa Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi itu, namun kecewa bahawa orang “biasa” sepertinya tidak diambil peduli.

“Sepatutnya mereka memang kena ambil berat serta memberikan perhatian…tetapi (selalunya) mangsa seperti kami seperti dibiarkan sahaja,” kata beliau.

Kemalangan yang menimpa Khairy selepas tayar basikal yang ditunggangnya terperosok dalam lubang jalan dan tindakan bingkas JKR memohon maaf kepada beliau mengingatkan Azizi akan penderitaan yang dilaluinya lapan tahun lalu.

Namun, kemalangan itu juga menjadi penggerak untuk beliau dan beberapa rakannya membaiki semana mungkin jalan-jalan berlubang di sekitar Kuala Lumpur.

“Saya menjalankan kerja-kerja pembaikan ini secara sukarela bersama beberapa teman agar pengguna kenderaan tidak menerima nasib seperti saya,” kata beliau.

Kajian sebuah universiti tempatan menunjukkan 11.25% daripada jumlah kemalangan jalan raya yang mengorbankan nyawa di Malaysia berkait langsung dengan ‘kecacatan’ jalan raya.

Daripada jumlah ini, 15.4% kematian akibat kemalangan jalan raya berpunca daripada lubang ‘maut’.

Bagi Mohamad Hapis Md Rasol, lubang jalan menyebabkan kakaknya, Nurul Ain Md Rasol, terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 34 Lebuhraya Pasir Gudang, Johor bulan lalu.

Nurul ketika itu membonceng motosikal dipandu kawannya yang melanggar lubang jalan.

Seperti Azizi, tidak ada pihak tampil memohon maaf kepada keluarganya atas kemalangan yang meragut nyawa kakak beliau.

“Memang sepatutnya minta maaf barulah adil, sebab itu adalah tanggungjawab mereka untuk memastikan jalan raya yang digunakan selamat. Jika berlaku kemalangan sebegini merekalah (JKR) patut orang pertama yang harus meminta maaf dan menghulurkan bantuan kepada mangsa,” kata beliau.

Sementara itu, penghantar makanan Shafiq Ayie, berkata terlalu banyak jalan berlubang di ibu negara dan keadaan itu mengundang bahaya kepada pengguna jalan khususnya penunggang motosikal.

“Saya harap pihak yang bertanggungjawab itu ambil berat mengenai isu ini, sebab kami punya kerja ini memang berisiko tinggi. Sedangkan atas jalan elok pun bahaya, inikan pula kalau jalan itu rosak,” kata Shafiq.

Shafiq seorang penghantar makanan sering berdepan risiko akibat jalan rosak ketika menghantar makanan kepada pelanggan.
Penunggang motosikal yang hanya mahu dikenali sebagai Asyraf pernah menjadi mangsa kemalangan akibat jalan rosak. Beliau berpendapat adalah tidak adil jika permohonan maaf pihak berkuasa hanya dibuat kepada golongan berkepentingan.

“Kami juga manusia, nyawa hampir melayang disebabkan jalan rosak ini. Kalau JKR boleh minta maaf kepada menteri, bagaimana pula dengan mangsa-mangsa yang lain mengalami kemalangan dan kecederaan yang lebih teruk?

“Tak ada mana-mana pihak pun buat permohonan maaf,” katanya kepada FMT dalam nada kesal.