Pernah kena buli ketika bekerja di Malaysia, lelaki ini kini jadi boss besar di Pakistan

Oleh ISMAIL YAHYA

Seorang lelaki warga Pakistan berkongsi kisah sedihnya selepas mendakwa dia pernah menjadi mangsa keganasan oleh individu tidak dikenali semasa bekerja di Malaysia.

Kisah itu dikongsikan oleh warga Malaysia yang dikenali sebagai Ahmad Isa melalui rakaman di TikTok

semasa dia membuat lawatan ke sebuah penempatan di Pakistan.

Pernah kena buli ketika bekerja di Malaysia, lelaki ini kini jadi boss besar di Pakistan

Menurut lelaki Pakistan yang bernama Usman itu, dia memutuskan untuk pulang ke kampung halamannya selepas lelah menjadi mangsa samun ketika mencari rezeki di Malaysia.

“Dulu saya bekerja di Sogo, Kuala Lumpur. Saya bekerja di sebuah kedai fabrik di sana.

“Saya pulang ke Pakistan semula kerana di Malaysia, saya menjadi mangsa samun. Pada waktu itu, pada hari minggu, ramai penunggang motosikal.

“Mereka mengambil barang-barang saya termasuk pasport sehingga saya mengalami kesukaran. Saya juga dipukul hingga gigi saya terkena,” katanya.

Walaupun menceritakan pengalaman pahitnya, Usman menegaskan dia tidak menyimpan dendam terhadap apa yang berlaku.

Sebaliknya, Usman menggunakan perumpamaan ‘lima jari manusia’ untuk menunjukkan bahawa sikap setiap individu adalah berbeza.

“Saya tidak bermuram, kerana setiap individu adalah unik seperti lima jari tangan kita yang tidak sama panjangnya. Ada yang baik, ada yang tidak baik.

“Namun, kini saya banyak bersyukur dan bahagia atas segala yang diberikan Allah kepada saya. Sekarang, Allah memberikan saya kebahagiaan,” katanya sambil tersenyum.

Usman kemudian dilihat mengagihkan tiga plastik makanan termasuk buah epal kepada Ahmad dan rakan-rakannya.

Tersentuh dengan sikap baik Usman, Ahmad mengaku berasa ‘malu’ kerana mengingatkan layanan yang diterima Usman di Malaysia.

“MasyaAllah, kita di Malaysia pun belum tentu boleh memberikan bantuan seperti ini.

“Dia di Malaysia malah menjadi mangsa keganasan. Di Pakistan, dia memberi pelbagai bantuan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Seperti yang dinyatakan dalam video, Usman kini merupakan majikan yang memiliki lebih daripada 100 pekerja dan mengendalikan kilang batu bata di Pakistan, di mana dia bercita-cita untuk memberikan kembali kepada komuniti tempatan.

Selepas Ahmad mengucapkan terima kasih, Usman menjemput Ahmad untuk tinggal di rumahnya.

“Saya mempunyai rumah di sini, jadi jangan risau. Jika anda perlukan makanan atau tempat tinggal, saya bersedia membantu,” jelasnya.

Video itu telah mendapat lebih daripada 890,700 tontonan selepas Ahmad memuat naiknya ke TikTok.

Rata-rata netizen sangat terkesan dengan kebaikan Usman terhadap Ahmad seperti yang ditunjukkan dalam video tersebut.

Di samping itu, netizen juga meminta maaf kepada Usman kerana beberapa individu telah bertindak tidak adil terhadapnya semasa dia berada di Malaysia.

BACA: Kucing tak mahu berpisah dari pelukan tuannya gara – gara 3 bulan tak jumpa