Terdapat fakta menarik yang mungkin ramai tidak tahu. Ramai di kalangan kita mungkin ada rakan atau guru yang mempunyai nama pangkal ‘Wan’, bukan?
Biasanya, mereka berasal dari Kelantan atau Kedah.Namun, tahukah anda dari mana asal usul keturunan ‘Wan’ ini?
Pada awalnya, kajian pada tahun 1940 menunjukkan bahawa keturunan ‘Wan’ berasal dari bangsawan Kesultanan Kelantan.
Mereka sangat berhubung rapat dengan sejarah Kemboja dan Vietnam, wilayah-wilayah yang dulunya merupakan kerajaan Melayu Indo-China seperti Funan, Chenla, dan Champa yang didirikan oleh Wangsa Warman.
Wangsa Warman juga menguasai sebuah kerajaan kuno Melayu, Langkasuka, bermula dari tahun 200 M dan dibangkit semula semasa pemerintahan Raja Merong Mahawangsa pada tahun 630 M.
Namun, serangan dari Sriwijaya pada tahun 683 M mengakhiri kekuasaan empayar tersebut.
Proses pengislaman di Pattani pada abad ke-12 menyebabkan asimilasi melalui perkahwinan antara keturunan para pendakwah Islam dengan bangsawan Warman tempatan, yang kemudiannya melahirkan generasi baru bangsawan yang bergelar ‘Wan’.
Kelompok ini kemudiannya terbahagi kepada dua: satu berhak menjadi raja pemerintah dengan nama pangkal ‘Che Wan’, manakala yang lain, yang bergelar ‘Wan’, kehilangan hak tersebut dan menjadi golongan bangsawan yang berkhidmat sehingga berakhirnya Kesultanan Pattani.
Menurut kajian Professor Tan Chee Beng pada tahun 1991, pangkal nama ‘Wan’ dan ‘Nie’ diwarisi dari China semasa dinasti Ming (1368-1644) oleh masyarakat Cina-Muslim keturunan Hui Hui. Kemudian, mereka berasimilasi dengan masyarakat Melayu di negeri-negeri pantai timur, dikenali sebagai Melayu-Yunan, yang mencipta keturunan ‘Wan’ dan ‘Nik’. Mungkin itulah sebabnya ramai orang Kelantan mempunyai pangkal nama ini.
Bagi keturunan ‘Wan’ dari Terengganu, mereka berasal dari perkahwinan campur antara nakhoda Champa, Raja Bugis, dan Puteri Laksamana Johor yang membawa jurai ‘Wan’ ke Terengganu. Antaranya ialah Tok Sheikh Duyong, Wan Abdullah bin Wan Mohammad Amin.
Keturunan ‘Wan’ di Terengganu juga turut berasal dari bangsawan dan ulama Pattani yang berhijrah selepas serangan Siam pada tahun 1780-an.
Manakala di Pahang, keturunan ‘Wan’ muncul melalui Bendahara Wan Ahmad yang mengasaskan kesultanan Pahang moden. Wan Ahmad ini berasal dari keturunan kesultanan Johor-Riau.
Sementara itu, keturunan ‘Wan’ di Perak bermula sekitar tahun 1750-an apabila seorang bangsawan dari Legeh, Wan Agas bin Tun Bija Diraja II, membantu memajukan wilayah hulu Perak.
Ketika itu, wilayah hulu Perak menjadi tumpuan para penghijrah bangsawan dari kesultanan Patani yang menukar gelaran dari Raja kepada ‘Wan Seri’, manakala ‘Wan Kasa’ bagi hulubalangnya.
Apabila Reman diserahkan kepada Siam pada tahun 1899, semakin ramai penduduk Patani, Reman, dan Nongchik berhijrah ke Perak dan Kedah.
Keturunan ‘Wan’ di hilir Perak pula muncul melalui perkahwinan para pendekar dari Kedah selepas Perang Kedah-Perak pada tahun 1818.
Sementara di Kedah, keturunan ‘Wan’ datang dari keturunan Bendahara, Laksamana, dan Temenggung Kedah yang telah lama diwarisi.
Namun, warisan bangsawan dari keturunan ‘Wan’ terhenti di istana Kedah selepas kepergian Wan Ismail, yang bersara sebagai Laksamana Kedah pada tahun 1882, kematian Perdana Menteri Wan Muhammad Saman pada tahun 1897, dan Permaisuri Wan Hajar pada tahun 1905.
Sejak Kedah berada di bawah pemerintahan British selepas perjanjian pada tahun 1905, 1909, dan 1923, jawatan-jawatan utama negeri diambil alih oleh putera-putera raja serta kaum kerabat Sultan Abdul Hamid Shah yang bergelar Tunku, menggantikan kedudukan kerabat-kerabat ‘Wan’.